Informasi Permainan Video Terkini
Psyonix Berkongsi Kadar Kemungkinan Untuk Kotak Tikam Rocket League

Psyonix Berkongsi Kadar Kemungkinan Untuk Kotak Tikam Rocket League

Diterbitkan pada July 24, 2018 oleh .

Bersempena dengan pengenalan sistem kemajuan Rocket Pass oleh Psyonix untuk permainan mereka Rocket League, minggu ini mereka  berkongsi kadar kemungkinan untuk barangan di dalam kotak tikam permainan tersebut.

Berikut adalah kadar kemungkinan untuk setiap jenis tahap barangan;

  1. Barangan Rare: 55%
  2. Barangan Very Rare: 28%
  3. Barangan Import: 12%
  4. Barangan Exotic: 4%
  5. Barangan Black Market: 1%
  6. Peluang untuk mendapat atribut Painted : 25%
  7. Peluang untuk mendapat atribut Certified : 25%

Selain itu mereka juga berkongsi bagaimana sistem kotak tikam berfungsi. Sistem kotak tikam mereka berfungsi melalui proses tiga-langkah. Apabila kotak tikam dibuka, langkah pertama adalah menentukan tahap barangan iaitu sama ada Rare, Very Rare, Import, Exotic ataupun Black Market berdasarkan peratusan di atas.

Kemudian langkah kedua, sistem akan menentukan barangan apa untuk setiap tahap yang akan diberikan, setiap barangan di dalam setiap tahap tersebut mempunyai kadar yang sama. Terakhir, langkah ketiga adalah menentukan jika barangan tersebut akan mendapat atribut Painted dan/atau Certified.

Seperti sedia maklum pendirian kami masih lagi kekal yang sistem kotak tikam adalah bukan sesuatu yang baik untuk industri permainan video akan tetapi kami turut menggalakkan untuk penerbit-penerbit permainan yang mempunyai sistem kotak tikam untuk mengeluarkan kadar kemungkinan seperti mana dilakukan oleh Psyonix. Agar, pemain mengetahui apa yang dibeli mereka.

Rocket League adalah permainan arena perlawanan yang memfokuskan penggunaan kenderaan kereta untuk bermain dam pemain perlu menjaringkan gol seakan bola sepak. Ia telah pun dilancarkan di Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.


TIPS & ULASAN