Mengikut laporan syarikat keselamatan siber Jerman Kromtech, pencuri kad kredit menggunakan permua seperti Clash Royale dan Clash of Clans yang diterbitkan oleh Supercell untuk pengubahan wang haram.

Disebabkan menggunakan kad kredit yang dicuri secara terus boleh memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan, pencuri sebaliknya menggunakan kad kredit tersebut untuk membeli mata wang maya di dalam permua sebelum menjual akaun tersebut di pasaran.

Wang yang diperoleh melalui penjualan akaun adalah satu pendapatan yang sah dan sukar untuk dikesan. Tambahan ia adalah agak mudah untuk mencipta akaun baharu bagi permua-permua tersebut bahkan boleh dilakukan secara automatik.

Walaupun setakat ini tiada cara untuk menghalang, akan tetapi Kromtech menasihati pembangun permainan untuk lebih menyukarkan penciptaan akaun untuk permua mereka agar dapat mengurangkan kes-kes pengubahan wang haram ini.

Jika anda mendapati ada yang menjual akaun-akaun permua yang mempunyai banyak mata wang maya kemungkinan ia adalah melalui aktiviti ini.

Sohor Kini