Captain Toad: Treasure Tracker merupakan permainan yang dibangunkan oleh Nintendo yang mana asalnya dilancarkan di konsol Nintendo Wii U pada 2014 lepas. Kini setelah 4 tahun kemudian, Nintendo mengambil keputusan untuk melancarkan semula permainan tersebut di konsol hibrid terbaru mereka, Nintendo Switch dan Nintendo 3DS dengan sebilangan fungsi dan kandungan baru pada 13 Julai 2018 lepas.
Bagi anda yang tidak pernah bermain permainan Captain Toad sebelum ini, Captain Toad: Treasure Tracker merupakan permainan yang memfokuskan penyelesaian tekaria secara berperingkat. Permainan ini meletakkan pemain sebagai watak Captain Toad, iaitu watak asal diperkenalkan ketika Super Mario Galaxy beberapa tahun lepas.
Namun setelah 4 tahun permainan ini dilancarkan, adakah ianya masih lagi mempunyai bentuk permainan yang menarik mahupun kandungan yang baru buat pemain baru? Berikut adalah ulasan penuh untuk permainan Captain Toad: Treasure Tracker yang dimainkan di Nintendo Switch.
Penceritaan Captain Toad: Treasure Tracker tidaklah mempunyai sebarang bentuk penceritaan yang kompleks mahupun mendalam. Seperti kebanyakkan permainan Nintendo lain, penceritaan permainan ini adalah sangat ringkas dimana ianya hanya memfokus watak yang sangat sedikit antara watak utama dan watak penjahat.
Pengembaraan Captain Toad: Treasure Tracker bermula dengan Captain Toad sendiri dimana beliau dilengkapi dengan bag galas yang besar bersama lampu di atas kepalanya dan beliau merupakan ketua kepada Toad Brigade. Melalui permainan ini, Captain Toad mengembara di dunia permainan tersebut untuk mencari harta karun dan juga menyelamatkan rakannya, Toadette daripada di culik oleh Wingo, iaitu musuh penjahat utama di dalam permainan ini. Sepanjang pengembaraan pemain, pemain akan menukar antara watak Captain Toad dan Toadette yang mana kedua-dua mereka mempunyai misi yang sama dan iaitu menyelematkan sesama mereka daripada di serang dan di culik Wingo.
Sememangnya penceritaannya agak ringkas dan hampir sama dengan kebanyakkan permainan Nintendo lain, iaitu menyelematkan seseorang daripada diculik. Namun, memandangkan permainan ini dihasilkan buat pemain kanak-kanak, saya memahami sasaran pemain yang Nintendo cuba sampaikan. Walaupun begitu, bagi anda yang ingin mencari sesuatu penceritaan yang unik dan baru, permainan ini tidak akan menyampainya.
Visual grafik permainan ini merupakan aspek utama yang sangat menyeronokkan bagi saya kerana setiap rekaan model yang dipermainkan sangat menarik untuk dipertontonkan. Bukan sahaja visual efek yang menarik, malah setiap rekaan watak, musuh dan juga kawasan memberi impak yang sangat ceria dan tenang sepanjang saya bermain permainan ini.
Walaupun permainan ini dibangunkan hampir empat tahun lepas, Nintendo tidak pernah mengecewakan peminat dengan visual permainan dan bagi anda yang pernah bermain permainan Super Mario Odyssey, visual permainan ini sememangnya berada di tahap yang sama. Setiap rekaan kawasan dan peringkat permainan juga dihasilkan dengan sangat baik sekali. Memandangkan permainan ini memfokuskan kedalaman lapangan, visual permainan ini sememangnya memberi kesan yang sangat besar terhadap bentuk dan kawalan permainan untuk pemain mengembara dan menyelesai setiap tekaria yang tersedia.
Dari segi prestasi, saya tidak menghadapi sebarang kecacatan visual mahupun masalah kadar bingkai sesaat ketika sesi permainan ketika di dok ataupun ketika bermain secara mudah-alih. Setiap sesi permainan saya, prestasi permainan ini dimainkan dengan baik sekali.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan berkenaan audio permainan ini, memandangkan kesemuanya dihasilkan dengan baik sekali. Setiap efek bunyi dan muzik latar dihasilkan dengan baik sekali oleh Nintendo.
Menariknya, bagi peringkat atau kawasan dari Super Mario Odyssey juga mempunyai muzik latar daripada permainan tersebut sekaligus menghasilkan suasana yang sangat menarik ketika sesi permainan.
Dari segi suara latar pula, seperti kebanyakkan permainan Nintendo lain, Captain Toad: Treasure Tracker tidak mempunyai sebarang suara latar terperinci kecuali bunyi ataupun suara-suara Captain Toad dan Toadette yang seakan bunyi mereka menjerit ataupun berdesak.
Aspek utama dan paling menyeronokkan bagi permainan ini semestinya adalah kawalannya yang dihasilkan dengan sangat baik sekali. Captain Toad: Treasure Tracker adalah permainan tekaria secara berperingkat seperti kebanyakkan permainan mudah-alih (permua) sekarang ini, iaitu pemain akan menyelesaikan setiap tekaria mengikut turutan dari peringkat ke peringkat seterusnya.
Walaupun begitu, Nintendo sekali lagi berjaya menghasilkan satu bentuk permainan ringkas dengan cara penyampaian dengan baik sekali. Uniknya permainan Captain Toad: Treasure Tracker berbanding permainan tekaria yang lain adalah setiap peringkat permainan mempunyai tekaria yang sangat berbeza dan berlainan cara penyelesaiannya.
Tugas utama pemain di dalam permainan ini adalah mengumpul bintang (Power Star) untuk melengkapkan setiap peringkat. Namun ianya tidak semudah itu dimana pemain perlu memanipulasi kamera pemain untuk mendedahkan kawasan-kawasan tersembunyi ataupun mencari jalan untuk menyelesaikan setiap tekaria tersebut. Memandangkan Captain Toad mempunyai beg galas yang besar, beliau juga tidak berupaya untuk melompat seperti Mario, sekaligus setiap tekaria yang perlu diselesaikan oleh pemain menjadi lebih unik dan taktikal dimana untuk menewaskan musuh pemain perlu mengutip lobak dan membalingkannya ke arah musuh.
Pemain juga berupaya untuk mengutip sebilangan barangan bonus lain seperti berlian untuk digunakan sebagai nilai untuk nyah-kunci peringkat seterusnya dan juga koin untuk mengumpul markah serta meningkat nilai nyawa pemain. Dari segi aspek sistem teras permainan, Captain Toad: Treasure Tracker mempunyai bentuk permainan yang sama dengan kebanyakkan permainan Mario yang lain seperti pemain akan menjadi kecil jika tersentuh musuh dan pemain boleh membesar kembali dengan mendapatkan cendawan merah.
Setiap peringkat tekaria juga mempunyai rekaan tekaria yang sangat berbeza antara satu sama lain. Terdapat sebilangan peringkat yang mana pemain berupaya untuk berpecah kepada beberapa Captain Toad untuk menyelesaikannya. Terdapat juga peringkat yang mana pemain perlu menaiki kart lombong dan menembak lobak ke arah musuh. Permainan ini juga menggunakan skrin sesentuh ataupun kawalan menggunakan pergerakkan alat kawalan untuk menyelesai sebilangan tekaria. Namun kebanyakkan peringkat permainan tersebut diakhiri dengan pengumpulan bintang untuk melengkapkannya.
Menariknya juga, permainan ini juga menyertakan sebilangan pertarungan bersama ketua-ketua musuh. Setiap pertarungan tersebut juga menguji minda pemain dimana pemain perlu menyelesaikan tekaria dan pada masa yang sama, mengalahkan ketua musuh. Menariknya sesi ini juga merupakan salah satu aspek yang membuat permainan ini sangat seronok dimainkan.
Selain daripada pengumpulan bintang untuk melengkap sesi permainan, terdapat juga mod permainan lain seperti pencarian Pixel Toad (Hide-And-Seek) , iaitu pemain perlu memanipulasikan kamera untuk mencari watak Pixel Toad yang terlekat di dinding. Manakala mod kedua adalah Mummy-Me’s Challenge yang mana seperti mod biasa, iaitu pemain menyelesaikan tekaria untuk mendapatkan bintang, namun mod ini mempunyai sedikit perubahan dimana pemain akan dikejar oleh mumia yang pastinya akan memerlukan pemain untuk menyelesaikan tekaria tersebut dengan lebih pantas.Terdapat juga mod Onward! Toad Brigade dimana pemain perlu mengumpul tiga pasukan Toad Brigade yang lain untuk menyelesaikan sesuatu tekaria. Mod-mod ini juga memberi tahap kesukaran yang lebih tinggi untuk pemain selesaikan.
Dari segi kandungan tambahan, Captain Toad: Treasure Tracker versi Switch ini memperkenal beberapa peringkat kawasan tambahan berdasarkan permainan Super Mario Odyssey. Walaupun peringkat permainan tersebut tidaklah tersedia dengan banyak, namun penyertaannya di dalam permainan ini sememangnya membawa bentuk permainan yang sangat unik dan menarik seperti kawasan New Donk City, Tostarena dan sebagainya.
Satu lagi kandungan yang ditambah oleh Nintendo melalui versi Switch adalah keupayaan untuk bermain secara koperasi melalui multi-pemain. Namun, mod ini hanya boleh dimainkan secara luar-talian sahaja dan pemain kedua tidak boleh mengawal sebarang watak dan hanya berupaya untuk mengawal kamera, kawalan sesentuh dan menembak lobak terhadap musuh. Manakala pemain pertama ataupun utama masih lagi mengawal Captain Toad untuk menyelesaikan tekaria peringkat permainan tersebut.
Melalui mod ini juga, pemain berupaya untuk bekerjasama dan memudahkan lagi sesi penyelesaian tekaria tersebut memandangkan pemain kedua dapat membantu menewaskan musuh, pemain pertama pasti akan dapat menyelesaikannya dengan lebih mudah. Namun, mod ini masih lagi agak menyeronokkan dan menguji minda jika dimainkan bersama rakan-rakan atau ahli keluarga untuk mereka yang mencari permainan parti yang ringkas untuk dimainkan bersama.
Secara kesimpulannya, Captain Toad: Treasure Tracker sememangnya sebuah permainan tekaria yang sangat baik sekali. Ianya bukan sahaja mempunyai rekaan peringkat tekaria yang menarik, malah setiap peringkat mempunyai cara penyelesaian yang berbeza dan sangat menguji minda pemain. Ditambahkan dengan visual yang cantik bersama bentuk kawalan manipulasikan kamera yang sangat berkesan, ianya sememangnya antara permainan tekaria yang menyeronokkan bagi saya.
Namun begitu, kandungan permainan ini sememangnya agak sedikit buat mereka yang pernah bermainnya di Nintendo Wii U beberapa tahun lepas terutamanya kandungan Super Mario 3D World yang dibuang daripada versi Wii U. Tambahan penceritaan yang agak ringkas, permainan ini sememangnya untuk mereka yang mencari permainan kasual dan boleh dimainkan secara mudah-alih dan bersahaja.