Jika anda mempunyai konsol Switch, anda pasti agak kecewa yang mana konsol tersebut tidak menyokong sebarang fon kepala tanpa wayar seperti Bluetooth secara terbina. Jika anda ingin menggunakan sebarang fon kepala tanpa wayar, anda mungkin perlu mendapatkan set fon kepala USB ataupun pemancar Bluetooth yang akan mempunyai latensi.

Namun kini, Human Things menghasilkan Genki iaitu satu dongle khas untuk pemain menggunakan sebarang fon kepala ataupun fon telinga Bluetooth untuk konsol Switch.

Genki merupakan dongle yang direka khas untuk konsol Switch yang mana ianya boleh dihubungkan melalui USB-C yang terdapat di bawah konsol Switch. Menariknya, Genki menyokong dua fon kepala secara serentak sekaligus buat mereka yang bermain permainan multi-pemain secara berdua, berupaya untuk mendengar dengan fon kepala masing-masing.

Menariknya, Genki juga boleh digunakan ketika didok dengan menggunakan penyesuai USB yang disediakan oleh Human Things. Selain itu, Genki juga tidak perlu dicas dan ianya akan terus boleh diguna apabila ia dihubungkan ke Switch.

Menurut Human Things, dongle ini tidak mempunyai sebarang bunyi statik mahupun latensi ketika penggunaan bersama sebarang fon kepala Bluetooth. Mereka juga menjanjikan jarak penggunaan lebih dari 20 meter.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Genki, ianya kini boleh dipra-tempah melalui kempen biayasama Kickstarter dengan harga $39(~RM158) untuk dongle tersebut sahaja. Bagi anda yang ingin mendapatkan bersama penyesuai USB, ianya dijual dengan harga $49(~RM198). Kempen tersebut masih lagi mempunyai beberapa hari sebelum ianya tamat.

Sohor Kini