Bagi anda yang berminat ataupun gemar menghasilkan permainan video, anda mungkin berminat dengan siri RPG Maker yang mana kini Degica Games mengumumkan bahawa RPG Maker MV akan dilancarkan di konsol Playstation 4, Xbox One dan Switch. Sebelum ini perisian tersebut telahpun dilancarkan di PC melalui Steam.

RPG Maker MV merupakan satu perisian bentuk permainan khas yang membolehkan pemain untuk menghasilkan permainan RPG (Role Playing Game) tersendiri. Melaluinya, pemain berupaya untuk menghasilkan permainan tersendiri seperti menetapkan penceritaan, bentuk permainan dan juga visual grafik termasuklah watak-watak permainan.

Menariknya, bagi anda yang tidak ingin membina permainan sendiri, Degica juga akan melancarkan aplikasi RPG Maker MV Player khas secara percuma yang membenarkan pemain untuk bermain permainan yang dihasilkan oleh RPG Maker MV.

RPG Maker MV juga akan menyertakan sokongan skrin sesentuh buat pengguna Switch manakala versi Playstation 4 dan Xbox One akan menyokong tetikus secara penuh dimana ianya akan memudahkan lagi pemain untuk menghasilkan permainan RPG melalui perisian tersebut.

Degica Games juga menyatakan bahawa RPG Maker MV merupakan perisian alat pembangun permainan video yang mudah bukan sahaja untuk pembangun veteran malah pembangun baru yang ingin menjinak-jinak di dalam proses pembangunan permainan video tanpa sebarang pengetahuan di dalam bidang pengaturcara.

Buat masa ini, Degica masih belum mengumumkan sebarang tarikh pelancaran buat perisian tersebut namun menurut mereka, ianya akan dilancarkan pada 2019 ini. Bagi anda berminat untuk mendapatkan versi PC, ianya boleh dibeli sekarang melalui Steam dengan harga RM135.

Sohor Kini