Red Dead Redemption 2 tidak langsung menampilkan diri semasa E3 akan tetapi penganalisa industri tetap menjangkakan permainan tersebut akan menjadi permainan terbesar tahun ini.
Kami juga mempunyai pendapat yang sama, buat masa ini tidak boleh dinyatakan permainan tersebut mendapat ulasan yang baik atau tidak tetapi sesuatu yang kami yakin adalah hasil penjualan permainan tersebut dalam masa 24 jam pengeluaran akan menjadi tertinggi berbanding kesemua permainan yang dikeluarkan tahun ini.
Disebabkan itu ramai yang membandingkan dengan GTA V iaitu satu lagi permainan oleh Take-Two dan Rockstar yang merupakan permainan paling menguntungkan dalam industri hiburan. Namun ketua pengawal eksekutif Take-Two Strauss Zelnick berpendapat ia tidak realistik untuk menjangkakan Red Dead Redemption 2 akan mengulangi kejayaan GTA V.
Namun beliau percaya yang Red Dead Redemption 2 adalah satu permainan yang baik dan akan diterima baik oleh pemain. Beliau juga menyatakan kejayaan hanya boleh diperoleh apabila ia dikeluarkan dan tidak akan meraikan kejayaan yang masih tidak pasti.
Mungkin GTA V adalah satu kejayaan yang terlalu besar walaupun untuk penerbit yang sama tetapi kami tidak merasakan Take-Two dan Rockstar perlu risau mengenai kejayaan permainan terbaru mereka ini.
Red Dead Redemption 2 adalah permainan sekuel kepada Red Dead Redemption yang dilancarkan 2010 lepas di Playstation 3 dan Xbox 360. Kini permainan terbaru Red Dead Redemption 2 dijadualkan untuk dilancarkan pada 26 Oktober 2018 ini dan ia ditawarkan untuk PlayStation 4 dan Xbox One.