Skip to main content

Pada awal tahun ini, kita telah mendengar laporan mengatakan Google sedang membangunkan sebuah perkhidmatan penstriman permainan video tersendiri, sekaligus membolehkan mereka hadir dengan sebuah platform yang menyaingi PlayStation dan juga Xbox.

Kini, perkara berkenaan kedengaran kembali, dan dikatakan pihak Google telah bertemu dengan beberapa pihak pada acara E3 2018 yang diadakan pada awal bulan ini.

Selari dengan laporan sebelum ini, projek yang dinamakan “Yeti” ini dikatakan akan hadir dalam dua variasi, iaitu sebuah platform penstriman permainan, dan pada masa yang sama Google dijangka hadir dengan sebuah perkakasan khusus. Ia tidak diketahui lagi sama ada ia akan berbentuk sebuah konsol atau sebaliknya.

Ia dikatakan pada hari ini terdapat sejumlah permainan menarik di pasaran, namun memerlukan pengguna mempunyai kuasa pemprosesan tinggi, dan sebagainya. Dengan penawaran perkhidmatan penstriman, ia sekaligus akan membolehkan pemain memainkan sesuatu permainan tanpa mengira peranti – asalkan mempunyai keupayaan akses internet yang pantas.

Perkara sama telah dilakukan beberapa pihak sebelum ini, termasuk terbaru NVIDIA dengan GeForce Now. Namun ia tidak menerima permintaan yang tinggi. Tetapi, dengan arena internet yang kini lebih pantas, berkemungkinan dengan kaedah pemasaran yang betul, Google akan berjaya menarik pemain ke platform mereka.

Projek Yeti ini juga dikatakan akan diintegrasikan dengan YouTube Gaming, dan dengan pusat data Google diseluruh dunia, ia dijangka menawarkan bentuk permainan yang lebih lancar melalui penstriman berbanding beberapa pesaing lain.

Namun, ramai yang masih skeptikal dengan projek memfokuskan permainan daripada Google ini. Google sendiri sebelum ini pernah dikatakan ingin hadir dengan konsol berasaskan Android, selain mencuba mendapatkan Twitch. Tetapi kedua-duanya tidak berjaya.

Disamping itu, menurut laporan Kotaku juga, ia dikatakan Google telah bertemu dengan beberapa studio untuk membawa mereka ke platform baru ini, selain pada masa yang sama turut berbincang untuk pengambil-alihan.

Seperti biasa, pihak Google tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan hal ini buat masa ini.

Leave a Reply