Penerbit BioWare Mark Darrah hari ini melalui kuciran di Twitter mengatakan antara sebab Mass Effect: Andromeda kurang berjaya adalah kerana permainan tersebut dikeluarkan berhampiran dengan permainan yang lebih baik seperti Nier:Automata, Nioh, Horizon Zero Dawn, dan The Legend of Zelda: Breath of the Wild.

Namun, beliau tidak mengatakan ia adalah sebab utama sebaliknya mengakui yang permainan tersebut mempunyai pelbagai masalah yang menjadi sebab utama ia gagal tetapi jika permainan tersebut dikeluarkan di waktu lain yang tidak mempunyai banyak persaingan ada kemungkinan Andromeda akan mendapat ulasan yang lebih baik.

Beliau juga mengatakan jika mendapat ulasan yang lebih baik ada kemungkinan yang hasil jualan permainan tersebut lebih baik berbanding sekarang.

Bagi kami dari segi hasil jualan mungkin permainan ini akan mendapat lebih sambutan jika tidak dikeluarkan semasa minggu yang sibuk dalam dunia permainan video akan tetapi ia tidak akan membantu dari segi permainan itu sendiri bermasalah.

Bahkan EA sendiri bagaikan terus mengalah untuk meningkatkan kualiti permainan tersebut. Mass Effect bukanlah satu nama yang kecil, sebaliknya mempunyai pengikut yang ramai. Jika permainan itu sendiri baik, walaupun dikeluarkan di minggu yang sibuk ia tetap akan terjual dengan baik.

Sohor Kini