Pada 22 Jun lepas, Bandai Namco melancarkan permainan terbaru buat siri Gundam Breaker dengan nama New Gundam Breaker. Ianya dilancarkan di konsol Playstation 4 dan Bandai Namco juga mengumumkan versi PC akan dilancarkan tahun ini.

Permainan tersebut adalah berdasarkan siri Gundam yang terkenal dengan model kit figura yang dikeluarkan oleh Bandai. Bagi peminat diluar sana seperti saya, pasti mengetahui terma Gunpla yang sering digunakan oleh pembina Gunpla iaitu hasil campuran nama Gundam dan Plastik.

Bagi anda yang baru dengan siri ini, permainan Gundam Breaker merupakan satu permainan yang memberi peluang kepada pemain bukan sahaja memandu robot Gundam tersebut, malah peluang untuk menghasilkan Gundam tersendiri dengan mencampur pelbagai bahagian-bahagian Gundam terkenal daripada pelbagai siri untuk menghasilkan Gundam idaman anda.

Walaupun begitu, setelah 3 siri Gundam Breaker dilancarkan sebelum ini, Bandai Namco mengambil keputusan untuk menghidupkan semula siri permainan tersebut dengan nama New Gundam Breaker yang mempunyai bentuk permainan yang agak berlainan dan menggunakan enjin permainan Unreal Engine 4. Namun, adakah siri Gundam Breaker yang diolah semula Bandai Namco ini merupakan satu pilihan yang bijak oleh Bandai Namco? Di sini saya akan kongsikan pendapat dan ulasan penuh saya untuk permainan New Gundam Breaker.

Cerita

Penceritaan New Gundam Breaker kali ini sememangnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siri sebelum ini mahupun siri anime Gundam-Gundam lain. Melalui permainan ini, pemain akan memainkan watak seorang lelaki yang baru sahaja berpindah ke sekolah yang memfokuskan pembinaan Gunpla dan pertempuran Gundam Battle, iaitu Gunbre High School. Disitu, pemain akan bertemu dengan sebilangan gadis-gadis yang mana juga akan menjadi peneman pemain ketika sesi pertempuran kelak.

Di sekolah tersebut, pemain akan hadapi beberapa masalah dan tekanan daripada majlis pelajar Gunbre High School yang mana mereka menetapkan peraturan yang ketat untuk pelajar-pelajar membina Gunpla dan bertempur Gundam Battle. Sekaligus, untuk mengembalikan keseimbangan sekolah tersebut, pemain mengambil keputusan untuk mencabar pihak majlis pelajar tersebut.

Dari segi penceritaan, sememangnya penceritaan permainan ini agak tipikal seperti siri-siri anime yang sering kita tonton. Tambahan juga, bentuk penceritaan permainan ini diceritakan melalui bentuk visual novel, sekaligus menghasilkan penceritaan yang agak lemah.

Bukan sahaja penceritaannya kurang menarik, malah setiap pilihan dan senario yang dipilih oleh pemain tidak mempunyai sebarang kesan. Pemain juga akan diberi pilihan untuk memilih senario permainan yang berbeza, iaitu secara amnya, memilih watak wanita kesukaan pemain untuk meneruskan penceritaan. setiap senario permainan tersebut akan memfokuskan seorang watak wanita dan mereka sememangnya akan menjadi teman wanita pemain dari segi penceritaan. Tetapi, memandangkan pemain tidak mempunyai pilihan dialog yang banyak dan setiap pilihan hanya akan memberi dialog sembang yang berbeza tanpa memberi kesan terhadap penceritaan, keseluruhan penceritaan permainan ini terasa sangat mendatar.

Sekaligus penceritaanya menjadi agak mengecewakan bukan sahaja ianya membosankan, malah setiap pengakhiran akan berakhir dengan penceritaan yang sama cuma berlainan wanita.

Pemain juga diberi peluang untuk bermain pilihan senario berbeza tanpa sebarang kesan terhadap jangka masa penceritaan, sekaligus sebarang pilihan senario pemain, langsung tidak akan memberi kesan terhadap senario yang lain.

Grafik

Dari segi visual grafik, permainan New Gundam Breaker sememangnya mempunyai visual yang lebih cantik berbanding siri Gundam Breaker sebelum ini. Ini juga adalah disebabkan oleh enjin permainan yang baru, iaitu Unreal Engine 4.

Bukan sahaja bayangan visual yang lebih cantik, malah ketika sisi foto mahupun ketika sesuatu Gunpla berada di atas meja, visualnya seolah realistik sekaligus membuatnya seolah ia betul-betul nyata.

Sebagai seorang pembina Gunpla, visual permainan merupakan aspek yang agak penting di dalam permainan ini untuk memapar dan menayang Gunpla tersebut. Bandai Namco sememangnya melakukan sesuatu yang baik dengan visual permainan tersebut.

Namun, terdapat juga beberapa perkara yang boleh agak mengecewakan seperti tekstur model yang sering lambat dimuatkan bersama dengan visual tidak seiring dengan audio. Namun, perkara ini tidak sering berlaku malah ianya hanya berlaku pada masa tertentu sahaja.

Satu lagi perkara yang agak mengecewakan saya adalah paparan antaramuka yang seolah pihak Bandai Namco hanya ubah daripada versi bahasa Jepun ke bahasa Inggeris. Ini dapat dilihat melalui rekaan fon yang nampak sedikit herot bersama rekaan antaramuka seolah untuk bahasa Jepun.

Audio

Audio permainan ini tidak mempunyai sebarang masalah besar malah permainan ini juga menyertakan pelbagai muzik latar daripada siri-siri anime Gundam yang sangat menarik. Namun senarainya agak sedikit dan hanya terhad untuk sebilangan muzik latar sahaja tanpa sebarang muzik pembukaan intro anime.

Dari segi audio efek seperti serangan Gundam mahupun bunyi kerosakan atau letupan, kesemuanya dihasilkan dengan baik dan bukanlah sesuatu yang memberansangkan. Malah, kami berasa kebanyakkan audio yang digunakan adalah daripada siri permainan sebelum ini.

Selain itu, seperti yang dikemukan di atas di bahagian visual grafik, terdapat juga masalah audio yang tidak seiring dengan visual, namun ia hanya berlaku dari semasa ke semasa sahaja. Tetapi, apabilanya ianya berlaku, ia agak menjengkelkan dan rasa seolah permainan ini tidak dioptimasi dengan baik.

Tetapi apa yang kami menyukai berkenaan audio adalah kesemua sesi dialog sembang bersama watak-watak di dalam mod penceritaan mempunyai suara latar. Walaupun ianya hanya bersuarakan bahasa Jepun, ia tetap merupakan satu usaha yang bagus bagi pihak Bandai Namco untuk menghasilkan kualiti penceritaan seakan visual novel.

Kawalan Permainan

Apabila dikaitkan dengan kawalan mahupun bentuk permainan, ianya merupakan satu aspek yang sangat penting kerana keseluruhan permainan dibangunkan berdasarkan aspek tersebut. Namun, jika ianya rosak, keseluruhan permainan akan gagal dan inilah apa yang berlaku dengan permainan New Gundam Breaker.

Bandai Namco cuba untuk melakukan sesuatu yang baru untuk permainan ini dimana mereka ingin memfokuskan bentuk pemain lawan pemain, sekaligus mereka ingin mengimbangkan sistem permainan tersebut. Namun tindakan ini memberi kesan negatif terhadap permainan tersebut kerana ianya membuat permainan ini kurang menarik untuk dimainkan.

Terdapat pelbagai masalah yang saya hadapi ketika saya bermain permainan ini dan masalah pertama yang saya ingin kemukakan adalah bentuk pertempuran permainan ini sendiri. Bukan sahaja ia menjadi lebih perlahan berbanding permainan Gundam Breaker sebelum ini malah permainan ini secara teknikalnya masih belum siap.

Dengan menggunakan enjin permainan baru, saya dapati Bandai Namco masih belum mengoptimasikan permainan ini dan setiap pengalaman saya bertempur di dalam New Gundam Breaker sering dirosakkan dengan kadar bingkai sesaat yang sering jatuh dan permainan sering beku ketika bertempur dengan sejumlah musuh yang ramai. Walaupun saya mainkan permainan ini menggunakan Playstation 4 Pro, dari segi prestasi permainan ini adalah sangat teruk dan mengecewakan.

Selain itu, setiap kemahiran EX Skills Gunpla dan senjata-senjata yang dilengkap di Gunpla tersebut menjadi semakin terhad akibat Bandai Namco ingin menyeimbangkan permainan tersebut. Kali ini mereka mengambil keputusan untuk menggunakan satu bahagian, satu EX Skill sahaja, sekaligus ia mengehadkan bahagian-bahagian yang mempunyai pelbagai jenis kemahiran.

Sebagai contoh, saya melengkapkan Gunpla saya dengan bahagian belakang Nu Gundam dan bahagian tersebut mempunyai sebilangan EX Skill ataupun kemahiran senjata yang berbeza seperti Bazooka dan dua jenis serangan Fin Funnel yang berbeza. Namun, saya hanya boleh menggunakan satu sahaja kemahiran tersebut memandangkan EX Skill kali ini adalah sangat terhad untuk satu bahagian sahaja. Sekaligus bahagian belakang tersebut menjadi sia-sia memandangkan kesemua kelengkapan senjata berada di belakang Gunpla tersebut, namun saya tidak boleh menggunakannya langsung.

Selain itu, Builder Parts juga kembali di dalam New Gundam Breaker kali ini namun bahagian tersebut hanyalah merupakan bahagian kosmetik Gunpla sahaja memandangkan setiap senjata yang dipasangkan, tidak boleh digunakan. Malah ianya hanya mengubah sedikit statistik kuasa Gunpla itu sahaja.

Ini merupakan satu konfigurasi yang sangat mengecewakan untuk pembina Gunpla seperti saya, memandangkan saya sentiasa mengimpi untuk membina satu Gunpla idaman dengan pelbagai senjata pilihan saya. Namun, kelengkapan senjata tersebut tidak boleh digunakan langsung dan hanya boleh dipasang sebagai rupa kosmetik sahaja.

Masalah kedua pula adalah sistem pertempuran itu sendiri. Kali ini, Bandai Namco mengambil keputusan untuk membawa bentuk pertempuran yang lebih seimbang kepada pemain melalui jenis kerangka dalaman yang berbeza. Ini merupakan konsep seolah jenis kelas watak seperti permainan multi-pemain lain dimana setiap kerangka dalaman tersebut mempunyai fungsi, kemahiran dan statistik yang berbeza. Walaupun begitu, setiap kerangka dalaman tersebut tidaklah memberi kesan kawalan permainan yang drastik.

Satu lagi masalah yang dihadapi dengan sistem baru ini adalah permainan ini merupakan bentuk pertempuran secara arena. Ini bermakna, setiap kali pemain bertempur di arena atau kawasan pertempuran baru, pemain perlu menaik-tarafkan kerangka dalaman pemain dengan mengumpul barangan di dalam bekas ataupun mengalahkan musuh. Setiap kali pemain menaik-tarafkan peringkat kerangka dalaman tersebut, pemain akan menyah-kunci kemahiran EX Skill yang pemain tetapkan untuk bahagian Gunpla tersebut.

Secara teorinya, bentuk ini memberi keseimbangan yang menarik buat sesi pertempuran, namun apa yang berlaku adalah kemahiran EX Skill yang dinyah-kunci adalah terlalu rawak sekaligus ia melambatkan proses pemain untuk menggunakan sebilangan kemahiran ketika bertempur. Ini juga menyebabkan tahap kesukaran pemain semakin meningkat, memandangkan sebahagian kemahiran perlukan masa untuk pemain menyah-kuncikan untuk digunakan ketika bertempur.

Satu lagi masalah yang saya hadapi adalah mengumpulan bahagian Gunpla. Sebelum ini, setiap bahagian-bahagian yang dikutip oleh pemain ketika sesi pertempuran akan dimasukkan di inventori pemain secara automatik, namun kali ini pemain hanya boleh membawa 5 bahagian Gunpla sahaja.

Menariknya, kelima-lima bahagian tersebut boleh ditukar secara nyata dengan bahagian Gunpla tersedia yang anda gunakan. Namun fungsi ini tidaklah begitu menarik memandangkan anda sendiri telah menghabiskan masa untuk membina Gunpla idaman anda, dan untuk menukarkannya ketika sesi pertempur merupakan satu perkara yang sia-sia.

Berbalik kepada 5 bahagian Gunpla tersebut, untuk mendapatkannya, anda perlu menghantarkannya ke peti khas di dalam peta kawasan permainan tersebut untuk mendapatkannya ketika akhir sesi pertempuran. Sekaligus sistem ini agak menjengkelkan memandangkan anda akan menghabiskan masa untuk mendapatkan bahagian-bahagian Gunpla yang mana hanya terhad kepada 5 bahagian sahaja, dan anda perlu menghantarkannya setiap kali 5 slot bahagian tersebut penuh.

Ini bukan sahaja menghasilkan satu bentuk permainan yang berulangan malah ia melambatkan proses kemajuan pemain untuk mendapatkan kelengkapan baru mahupun melengkapkan sebilangan misi.

Apabila bercakap berkenaan misi pula, setiap sesi pertempuran Gundam Battle, pemain akan dihidangkan dengan pelbagai misi sampingan bersama-sama satu misi utama. Tidak kira sama ada pemain perlu mengumpul bahagian tertentu ataupun mengalahkan musuh tertentu, setiap misi permainan tersebut akan aktif secara berperingkat.

Sistem ini sekali lagi menyusahkan pemain dimana pemain perlu melakukan misi-misi sampingan dahulu sebelum melakukan misi utama. Ini kerana misi utama akan dikunci selagi pemain tidak melengkapkan sebilangan misi utama. Bukan sahaja setiap misi berulangan, malah misi utama juga tidak mempunyai sebarang bentuk yang berbeza. Kebanyakkannya adalah bertempur mengalahkan musuh sama ada pemain watak manusia daripada penceritaan, ataupun bertempur dengan musuh bersaiz besar seperti Mobile Armor.

Namun apa yang saya masih menyukai New Gundam Breaker ini adalah mod pembinaan Gunpla permainan ini masih lagi mengekal mod yang sama dengan siri Gundam Breaker sebelum ini. Dimana bukan sahaja saya boleh menghasilkan Gundam idaman saya, malah saya berupaya untuk mengubah warna-warnanya dan membuat sesi fotografi bersamanya.

Mod Multi-Pemain

Mod multi-pemain permainan ini agak mengecewakan saya bukan disebabkan bentuk kawalan permainannya yang teruk, tetapi sepanjang saya bermain permainan ini, saya tidak berjumpa sebarang pemain langsung di atas-talian untuk bermain bersama.

Saya sering hadapi masalah apabila saya ingin mencari sesi atas-talian dan permainan ini akan membawa saya ke skrin pencarian pemain di atas-talian. Dukacitanya, saya menunggu lebih dari 30 minit dan tidak berjumpa sebarang pemain langsung.

Saya tidak tahu adakah ianya masalah tiada pemain bermain secara atas-talian ataupun masalah internet. Namun, mod ini agak mengecewakan bagi saya.

Kesimpulan

Akhir kata, New Gundam Breaker sememangnya permainan yang tidak siap. Ia bukan sahaja mengadungi kandungan yang berkurangan daripada siri sebelum ini, malah dari segi prestasi permainan ia masih lagi tidak dioptimasikan oleh pembangun.

Sememangnnya New Gundam Breaker mempunyai visual yang cantik, malah dari segi bentuk permainan rekaan Gunpla yang sama dengan Gundam Breaker sebelum ini. Namun, dari segi kandungan jumlah Gundam, ataupun Mobile Suit, ia masih lagi berkurangann berbanding permainan sebelum ini. Namun, Bandai Namco menyatakan bahawa mereka akan membawa pelbagai lagi Gundam pada masa akan datang melalui DLC pernambahan, akan tetapi jika permainan terasnya sudah rosak, dengan menambahkan lagi kandungan Mobile Suit Gundam, ianya tidak akan membaiki sebarang masalah yang sedia ada.

Sebagai seorang peminat siri Gundam dan juga permainan Gundam Breaker, saya amat kecewa dengan hasil kualiti yang disampaikan oleh Bandai Namco dan ini sememangnya permainan Gundam Breaker paling teruk dan mengecewakan yang pernah saya mainkan.

Pada pendapat saya, bagi anda yang ingin bermain permainan Gundam Breaker dan membina Gundam impian anda, saya sangat mengesyorkan anda untuk bermain permainan Gundam Breaker 3 yang telah pun dilancarkan pada 2016 lepas di Playstation 4.

Kod Ulasan Permainan New Gundam Breaker Disediakan oleh Bandai Namco

Sohor Kini