Fortnite mempunyai pelbagai keunikan berbanding permainan battle royale yang lain antaranya adalah pemain boleh mengumpul bahan seperti kayu, batu dan besi untuk membina bangunan mereka sendiri yang sering digunakan untuk membina kubu ataupun penghalang.
Disebabkan battle royale adalah permainan yang pemain tidak boleh berada di satu tempat yang sama, pemain hanya membina di akhir permainan ataupun apabila diperlukan sahaja. Ini sangat merugikan untuk pemain yang suka membina.
Mod Playground yang diumumkan pada Mei lepas kini diacahkan di dalam permainan dan bakal tiba tidak lama lagi. Mod ini bukanlah berkonsep battle royale sebaliknya anda boleh mengembara seperti biasa untuk mencari senjata ataupun barangan lain termasuk juga bahan untuk membina.
Melalui mod ini anda tidak perlu risau mengenai bulatan awangan sebaliknya anda boleh membina berseorangan ataupun bersama rakan mengikut kreativiti anda sendiri. Jika anda ingin lebih bertempur anda boleh melakukan bersama rakan iaitu seramai 4 orang dan setiap kali terbunuh anda akan dihidupkan kembali dengan serta merta.
Buat masa ini mod ini akan diperkenalkan sebagai acara masa terhad tetapi kami tidak terkejut jika ia menjadi satu mod yang akan terus ada di dalam Fortnite terutama andai ia mendapat sambutan yang baik. Kami akan kemaskini jika mendapat maklumat terbaru.