Skip to main content

Semalam, Warner Bros. Interactive Entertainment baru sahaja melancarkan permua Westworld di peranti telefon pintar yang mana ia merupakan permua berdasarkan siri HBO terkenal, Westworld.

Kini, Bethesda Softworks, pembangun bagi permainan Fallout Shelter mengambil tindakan untuk menyaman Warner Bros. Interactive dan Behaviour Interactive (Pembangun Westworld) kerana melanggar hak cipta intelek, penyelewengan dan penipuan bisnes bersama-sama dengan persaingan yang tidak adil terhadap permua Westworld tersebut.

Tindakan ini adalah kerana menurut Bethesda, permua Westworld tersebut meniru bukan sahaja bentuk permainan Fallout Shelter, malah mempunyai kod permainan yang sama dengan Fallout Shelter. Menurut mereka, ini dapat dibuktikan melalui pepijat permua Westworld menyerupai pepijat yang berada di dalam permainan awal Fallout Shelter.

Permua Westworld tersebut juga didakwa menyerupai bentuk permainan Fallout Shelter dari segi karya seni, animasi bersama-sama dengan fungsi dan elemen permainan.

Menariknya juga, sebelum ini Behavior Interactive juga pernah terlibat di dalam pembangunan permua Fallout Shelter buat peranti telefon apabila ia dilancarkan pada 2015 lepas. Namun dari segi hak intelek termasuklah kod permainan adalah hak milik Bethesda.

Namun bagi kami sendiri, ianya agak mengecewakan untuk pembangun memplagiat permainan lain dan kami sendiri mencuba permua Westworld juga merasa permainan tersebut mempunyai persamaan dengan permainan Fallout Shelter.

Ketika artikel ini ditulis, pihak Warner Bros. Interactive Entertainment masih belum memberi sebarang kenyataan berkenaan perkara ini. Seperti biasa kami akan berkongsi sebarang informasi lanjut berkenaan perkara ini.

Leave a Reply