Pada 26 Oktober nanti, pemilik Playstation 4 dan Xbox One akhirnya akan dapat bermain Red Dead Redemption 2. Untuk yang hanya memiliki PC terpaksa berputih mata.
Walaupun ura-ura ini agak tidak kuat akan tetapi mungkin boleh sedikit menggembirakan golongan master race apabila berdasarkan profil seorang pembangun Rockstar di LinkedIn menyenaraikan Red Dead Redemption 2 untuk PC.
Oleh kerana profil menunjukkan beliau meninggalkan Rockstar Leeds pada tahun 2016 mungkin beliau hanya terlibat di peringkat awal pembangunan untuk Red Dead Redemption 2 dan mungkin Rockstar membatalkan pembangunan untuk PC.
Pada pendapat kami oleh disebabkan Red Dead Redemption 2 mempunyai mod atas talian, kemungkinan besar ia akan turut dikeluarkan untuk PC tetapi setahun ataupun dua tahun kemudian.
Grand Theft Auto V sebelum ini dikeluarkan untuk konsol terlebih dahulu iaitu pada tahun 2013 untuk PS3 dan Xbox 360, manakala PS4 dan Xbox One menerimanya pada 2014 sebelum hadir untuk PC pada tahun 2015.
Jadi boleh dikatakan jika versi PC akan tiba pada tahun hadapan ataupun 2020. Sama-samalah kita menanti.
Red Dead Redemption 2 adalah permainan sekuel kepada Red Dead Redemption yang dilancarkan 2010 lepas di Playstation 3 dan Xbox 360. Kini permainan terbaru Red Dead Redemption 2 dijadualkan untuk dilancarkan pada 26 Oktober 2018 ini dan ia ditawarkan untuk PlayStation 4 dan Xbox One.