Bagi anda yang masih lagi bermain Pokemon Go, Niantic Labs hari ini mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskini permua tersebut dengan fungsi pertukaran Pokemon.
Melaluinya, pemain beruapaya untuk menambah pelatih Pokemon lain di senarai kawan dan menukar pelbagai jenis barangan termasuklah Pokemon. Untuk menambah pelatih Pokemon lain di dalam senarai kawan anda, anda perlu berkongsi kod pelatih Pokemon dengan rakan anda dan hanya menjemput beliau sebagai kawan melalui sistem perkawanan baru di permua tersebut.
Pemain juga akan mendapat hadiah khas melalui Poke Stop ataupun Poke Gym yang mana hadiah tersebut boleh digunakan untuk menghadiahkannya kepada rakan pemain lain. Hasil daripada hadiah tersebut juga akan meningkatkan peringkat hubungan antara rakan pemain sekaligus akan memberi bonus serangan buat Pokemon pemain ketika bertempur di Gym ataupun Raid.
Selain menghadiahkan barangan, peringkat hubungan rakan pemain juga akan meningkat jika pemain sering menukar Pokemon. Melalui fungsi ini, segala Pokemon yang ditangkap oleh pemain boleh ditukarkan dengan rakan lain. Penukaran ini juga akan memberi bonus Candy Pokemon buat pemain.
Namun setiap penukaran tersebut akan menggunakan nilai Stardust. Jika peringkat hubungan rakan pemain lebih tinggi dengan sesorang, nilai Stardust yang diperlukan juga akan berkurangan. Manakala bagi Pokemon lagenda ataupun Shiny, memerlukan fungsi Special Trade khas dimana ia hanya boleh dilakukan sekali sehari sahaja dengan rakan yang mempunyai peringkat hubungan yang tinggi.
Ini merupakan fungsi yang dinanti-nantikan oleh pemain dan memandangkan permainan Pokemon: Let’s Go akan berintegrasi dengan Pokemon Go, kami percaya pada masa akan datang akan lebih banyak fungsi-fungsi utama bakal tiba buat permua tersebut.