Jikalau pada tahun lepas PUBG menjadi bualan mulut ramai pemain seluruh dunia, pada tahun ini, perkara berkenaan dilihat dicuri oleh Fortnite. Sejak daripada awal tahun 2018 ini, Epic Games telah mencuri perhatian ramai pemain melalui Fortnite Battle Royale.
Terkini, hari ini mereka mengumumkan Fortnite mempunyai lebih 125 juta pemain seluruh dunia – sekaligus memperlihatkan peningkatan positif dalam masa kurang setahun.
Fortnite sebelum ini telah melancarkan permainan mereka pada Julai 2017 lepas, dan menambah Fortnite Battle Royale sebagai permainan percuma sejak September lepas. Pada awal tahun ini, Epic Games mengatakan ia mempunyai lebih 45 juta muat-turun – dan kini, selang beberapa bulan, permainan berkenaan mempunyai lebih 125 juta pemain.
Buat masa ini, Fortnite ditawarkan untuk beberapa platform, termasuk untuk iPhone. Dengan pengenalan untuk Android yang dijangka hadir dalam beberapa bulan lagi, kita mungkin akan melihat lebih ramai pemain memainkan permainan popular ini.