Dengan berlangsungnya acara Nintendo Direct semalam, Nintendo tampaknya kali ini mengejutkan semua peminat dengan secara rasmi mengumumkan permainan seterusnya, Super Smash Bros. Ultimate dengan menyertakan kesemua watak-watak yang telah dilancarkan sebelum ini termasuklah Solid Snake dan Sonic.
Ketika acara tersebut, Masahiro Sakurai mengumumkan watak-watak ataupun dikenali Fighters yang bakal tiba buat permainan tersebut secara berperingkat dan bernombor mengikut nombor mereka diumumkan di permainan sebelum ini.
Terdapat 65 Fighters yang diumumkan, iaitu jumlah tersebut juga merupakan jumlah kesemua watak-watak yang pernah dilancarkan di permainan Super Smash Bros. sebelum ini termasuklah dua watak baru yang diumumkan iaitu Inkling dan Ridley. Ini juga bermakna kesemua watak-watak pihak ketiga seperti Ryu, Mega Man, Cloud dan Solid Snake juga kembali ke siri Super Smash Bros.
Menariknya, menurut Nintendo, kesemua watak yang diumumkan tidak akan dinyah-kunci pada permulaan permainan dan ianya akan dibuka secara berperingkat.
Mod pertempuran secara 8 pemain serentak juga kembali buat Super Smash Bros. Ultimate yang mana mod tersebut sangat terkenal ketika di Super Smash Bros. Wii U.
Selain itu, Nintendo juga mengemaskini beberapa aspek dan keseimbangan permainan tersebut seperti kemahiran Mario daripada siri Super Mario Odyssey, kemahiran pembatalan serangan untuk Samus dan sebagainya. Watak baru Inkling yang diumumkan juga mempunyai pelbagai kemahiran beliau daripada permainan Splatoon dan juga mempunyai bentuk permainan yang unik seperti Inkling perlu sentiasa mengecas peluru dakwatnya.
Mod watak Assist Trophies juga kembali buat Super Smash Bros. Ultimate dimana Nintendo mengumumkan pelbagai watak lama dan baru kembali untuk pemain gunakan ketika bertempur dan membantu pemain untuk menjatuhkan musuh. Menariknya, kali ini watak Assist Trophies tersebut boleh dijatuhkan, sekaligus ianya menjadi lebih mudah untuk bertempur dengannya. Menurut Nintendo, terdapat lebih dari 50 watak Assist Trophies yang bakal tiba buat Super Smash Bros. Ultimate ini termasuklah Waluigi, Midna, Pokemon-Pokemon lain dan sebagainya.
Nintendo juga mengemaskini pelbagai perkara baru seperti Smash Ball palsu dan juga peta-peta kawasan daripada permainan lama kini kembali ke permainan kini dengan peningkatan visual dan kemudahan untuk menukar ke pentas Omega ataupun pentas Battlefield.
Tambahan juga, buat anda yang bermain siri Super Smash Bros. di Gamecube dan ingin bermain menggunakan alat kawalan GameCube, Super Smash Bros. akan menyokong alat kawalan GameCube tersebut. Untuk kegunaannya anda mungkin perlu penyesuai untuk alat kawalan tersebut. Menariknya juga, baru-baru ini PowerA juga berkongsi aksesori alat kawalan GameCube bakal tiba di pasaran, sekaligus ia akan memudahkan lagi buat mereka, pemain veteran Super Smash Bros. untuk bermain menggunakan alat kawalan GameCube.
Nintendo juga mengumumkan kesemua Amiibo yang dilancarkan untuk permainan Super Smash Bros. Wii U sebelum ini juga boleh digunakan untuk Super Smash Bros. Ultimate termasuklah Amiibo dari siri lain.
Sememangnya ini adalah satu pengumuman yang sangat menarik dan ketika acara Nintendo Direct semalam, Nintendo memfokuskan kepada permainan ini dengan berkongsi pelbagai kemaskini dan perubahan yang bakal tiba buat siri terbaru Super Smash Bros. ini.
Bagi anda yang tidak sabar untuk bermain Super Smash Bros. Ultimate ini, anda tidak perlu risau memandangkan permainan tersebut akan dilancarkan tahun ini iaitu pada 7 Disember 2018.