Skip to main content

Ketika persidangan Ubisoft yang berlangsung hari ini, Ubisoft akhirnya berkongsi tarikh pelancaran buat permainan Starlink: Battle For Atlas iaitu permainan peperangan kapal angkasa yang diumumkan ketika acara E3 tahun lepas.

Melalui acara tersebut, Ubisoft mengumumkan bahawa permainan tersebut akan dilancarkan pada 16 Oktober ini di Playstation 4, Xbox One dan Switch.

Menariknya bagi versi Switch, Ubisoft sekali lagi mengumumkan hasil usaha kerjasama mereka bersama Nintendo dengan membawa watak Fox McCloud dari siri Starfox buat permainan tersebut bersama kapal angkasa rekaan khas Starfox. Versi Starfox ini juga akan menyertakan misi khas buat pengguna Switch.

Starlink: Battle For Atlas merupakan permainan pertempuran kapal angkasa yang mana ia dijual dengan figura kapal angkasa itu sendiri untuk pemain. Mengikut jenis permainan, pemain akan mendapat sebilangan kapal angkasa bersama tapak permainan atau dok untuk pemain sambungkan ke alat kawalan seperti Dualshock 4, Joycon ataupun alat kawalan Xbox sendiri.

Menariknya, setiap senjata pilihan pemain di permainan tersebut akan berubah mengikut tetapan pilihan pemain di figura kapal angkasa tersebut. Ini bermakna setiap pilihan senjata yang pemain letakkan di figura kapal angkasa, ianya akan memberi kesan di dalam kapal angkasa yang terdapat di dalam permainan Starlink: Battle For Atlas.

Konsep ini sememangnya sesuatu konsep yang menarik dengan permainan bentuk kepelbagaian. Sudah pastinya pada masa akan datang Ubisoft akan mengeluarkan pelbagai lagi pek-pek senjata dan kapal angkasa lain secara berasingan.

Namun, bagi pengguna yang ingin bermain tanpa figura dan dok kapal angkasa tersebut, menurut Ubisoft permainan tersebut masih lagi boleh dimainkan tanpanya.

Buat masa ini, versi permainan tersebut akan dijual dengan harga $74.99(~RM300) untuk pek permulaan yang mana ia akan menyertakan permainan Starlink: Battle For Atlas itu sendiri, 1 kapal angkasa, 3 senjata, 1 poster, 1 dok alat kawalan dan 1 figura juruterbang. Bagi versi Switch dua senjata sahaja yang akan disertakan, namun pemain akan mendapat kapal angkasa Starfox bersama figura juruterbang Fox McCloud.

Bagi anda yang berminat dengan permainan ini, ianya bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan Switch bermula 16 Oktober ini.

Leave a Reply