J.J. Abrams merupakan pengarah terkenal yang pernah menghasilkan filem untuk Star Trek dan juga Star Wars. Beliau juga merupakan pengasas kepada syarikat produksi filem iaitu Bad Robot Productions.
Studio beliau sudah lama melibatkan diri di dalam dunia permainan video akan tetapi tampaknya mereka makin fokus apabila presiden Bad Robot Productions Brian Weinstein hari ini mengumumkan yang mereka melakukan kerjasama dengan Tencent untuk membentuk Bad Robot Games.
Mengikut kenyataan beliau, Bad Robot Games akan melakukan kerjasama dengan pembangun sedia ada untuk menghasilkan permainan yang besar dan juga indie untuk peranti pintar, PC dan juga konsol. Artis visual, pereka dan penulis dari Bad Robot akan terlibat dalam projek ini.
Dave Baronoff yang sudah terlibat untuk menghasilkan permainan bagi Bad Robot sejak 2006 akan dilantik menjadi ketua Bad Robot Games. Menurut J.J Abrams sendiri, beliau sangat meminati permainan video dan sangat teruja dengan teknologi yang ada untuk pembangun. Beliau juga mengatakan kini syarikat beliau akan meningkatkan lagi usaha dan komitmen dalam industri ini.
Mengenai Dave Baronoff dan kerjasama bersama Tencent, beliau mengatakan Dave seorang yang kreatif, minat yang mendalam dan kemahiran kepimpinan yang tinggi sangat membantu manakala Tencent akan membantu permainan mereka tiba ke tangan pemain di serata dunia.
Melalui kerjasama ini Tencent akan mempunyai hak komersial untuk menerbitkan permainan dari Bad Robot Games. Antara penglibatan Bad Robot dalam dunia permainan video adalah permainan berdasarkan siri filem Colverfield dan juga satu projek yang masih berjalan iaitu Spyjinx hasil kerjasama bersama Epic Games.
Kami sudah semestinya tidak sabar untuk melihat permainan video apa yang akan dihasilkan oleh mereka.