Walaupun kami pengendali laman yang memfokuskan kepada permainan video, kami juga mempunyai masa yang terhad untuk bermain. Masalah ini juga dikongsi-kan dengan ramai lagi pemain-pemain di kalangan anda terutama yang sudah mempunyai kerja harian.
Untuk menyelesaikan masalah ini ada yang hanya bermain satu atau dua permainan yang lama dan juga di atas talian seperti Destiny 2, Warframe ataupun permainan-permainan MMORPG seperti Final Fantasy XIV dan Elders Scrolls Online.
Ada juga yang hanya bermain permainan yang boleh dihabiskan dalam waktu yang singkat. Cara ini yang kami gunakan untuk memenuhi kehendak kami untuk bermain permainan video tetapi pada masa sama tidak ingin terlalu mengambil masa lama menghabiskannya. Jika kami tidak mempunyai permainan yang perlu diulas ataupun tiada permainan baharu yang dikeluarkan, kami akan mengisinya dengan bermain permainan-permainan pendek ataupun kurang pada 20 jam untuk dihabiskan.
Melalui senarai ini, kami akan kongsi-kan 10 permainan terbaik berdasarkan permainan yang kami pernah main yang boleh dihabiskan dalam masa kurang 20 jam. Untuk senarai ini kami hanya akan menyertakan permainan yang dikeluarkan untuk ketiga-tiga platform utama iaitu Playstation 4, Xbox One dan PC dan juga yang kami merasakan tidak perlu dimainkan secara gopoh untuk dihabiskan kurang pada 20 jam. Senarai ini tidak mengikut sebarang susunan.
1. Siri Permainan Dishonored
Dishonored merupakan permainan yang dibangunkan oleh Arkane Studio dan diterbitkan oleh Bethesda. Permainan aksi ini mempunyai dua jenis teknik permainan yang pemain boleh memilih iaitu menumpaskan permainan ini secara berselindung ataupun memfokuskan pertempuran.
Setakat penulisan ini terdapat tiga Dishonored yang dikeluarkan iaitu Dishonored, Dishonored 2 dan Dishonored: Death of the Outsider. Setiap permainan ini boleh diselesaikan dalam masa 12 jam secara berselindung dan akan lebih cepat jika bertempur.
Sudah semestinya permainan ini boleh dipanjangkan dengan mengumpul collectible yang terdapat di dalam permainan ini tetapi untuk mengumpul kesemua semestinya akan mengambil masa lebih pada 20 jam.
Walaupun sekadar 12 jam, Dishonored sudah cukup mempunyai penceritaan yang baik bersama dengan teknik permainan yang menarik.
2. Siri Permainan Tomb Raider
Permainan Tomb Raider yang kami maksudkan di sini adalah siri terbaru iaitu Tomb Raider yang dikeluarkan pada 2013 dan Rise of the Tomb Raider pada tahun 2015 dan Shadow of the Tomb Raider yang bakal tiba September ini oleh Square Enix yang kami menjangkakan turut mempunyai durasi permainan yang sama iaitu secara purata 15 jam.
Permainan aksi pengembaraan ini mempunyai dunia yang terbuka tetapi tidak luas, dengan memfokuskan kepada penceritaan utama dan beberapa penceritaan sampingan anda boleh menghabiskannya dalam masa yang singkat, jika ingin menyelesaikan kesemua yang ada dalam permainan ini boleh mengambil dari 20 hingga 30 jam.
Kekuatan permainan ini adalah kepada aksi pertempuran yang menarik, rekaan setiap peringkat dan dunia sangat baik. Penceritaan juga mempunyai keunikan tersendiri bersama dengan watak Lara Croft yang boleh dikatakan watak yang terbaik.
3. Siri Permainan Bioshock
Bioshock merupakan ‘anak’ kepada Ken Levine dan studio beliau Irrational Games. Bioshock dikeluarkan pertama kali pada tahun 2007, dan Bioshock 2 pada tahun 2010 akan tetapi Ken Levine tidak terlibat sebelum dia kembali untuk Bioshock Infinite yang dikeluarkan pada tahun 2013.
Permainan penembak pandang pertama ini akan mengambil masa secara purata 12 jam untuk dihabiskan dan lebih lama jika ingin mencari collectible. Keunikan permainan ini adalah rekaan dunia yang terdapat di dalam setiap permainan ini, penceritaan juga agak menarik walaupun mungkin untuk sukar difahami.
Walaupun bukanlah permainan penembak pandang pertama yang terbaik akan tetapi dengan dunia dan penceritaan membantu meningkatkan lagi kualiti permainan ini.
4. Siri Permainan The Banner Saga
The Banner Saga merupakan permainan RPG yang mempunyai sistem pertempuran mengikut urutan. Dibangunkan oleh Stoic, The Banner Saga yang pertama dikeluarkan pada tahun 2014 dan The Banner Saga 2 pada tahun 2016. Permainan ketiga siri ini iaitu The Banner Saga 3 akan dikeluarkan pada 24 Julai 2018.
Siri permainan ini memfokuskan kepada penceritaan dan pilihan pemain yang turut mementingkan ketahanan hidup watak dan juga kumpulan yang akan mengikut pemain. Pertempuran permainan ini agak ringkas dan tidak terlalu sukar tetapi cukup untuk menjadikan permainan ini menarik.
Secara purata anda memerlukan 10 jam untuk menghabiskan permainan ini dengan ada perkara-perkara lain yang boleh dilakukan selain daripada penceritaan boleh lebih memanjangkan durasi permainan ke 15 jam.
5. Lain-Lain
Ada banyak lagi permainan yang lain yang menarik dan boleh dihabiskan kurang pada 20 jam. Melalui bahagian ini kami akan senaraikan secara ringkas dan kami cadangkan anda untuk mencubanya.
Siri permainan Telltale Games seperti The Walking Dead dan Batman, permainan ini secara purata mengambil masa 5-6 jam untuk dihabiskan tetapi mempunyai nilai untuk dimainkan balik yang menjadikan jumlah masa secara purata 10 jam.
Life is Strange yang dibangunkan oleh Dontnod Entertainment mempunyai teknik permainan lebih kurang seperti siri permainan Telltale Games tetapi mempunyai keunikan tersendiri. Setakat ini ada dua permainan di dalam siri ini iaitu Life is Strange dan Life is Strange: Before The Storm yang secara puratanya mengambil masa 12 jam untuk dihabiskan.
Inside dan Limbo merupakan permainan side-scrolling yang mempunyai tekaria yang menarik dibangunkan oleh Playdead dan hanya mengambil masa dari 5 hingga 6 jam sahaja untuk dihabiskan jika ingin bermain secara penuh, tetapi dengan cepat boleh juga dihabiskan dalam masa 3 jam sahaja.
Senarai ini bukanlah senarai yang penuh, ada banyak lagi permainan lain yang kami tidak berkesempatan untuk main. Jika ada mempunyai permainan-permainan yang boleh dihabiskan dalam masa kurang 20 jam, anda boleh kongsi-kan senarai permainan anda sendiri di ruangan komen.