Informasi Permainan Video Terkini
Tetris Effect Diumumkan Untuk Playstation 4 Dan PSVR – Bakal Tiba Pada Suku Keempat 2018

Tetris Effect Diumumkan Untuk Playstation 4 Dan PSVR – Bakal Tiba Pada Suku Keempat 2018

Diterbitkan pada June 7, 2018 oleh .

Sony sebelum ini mengatakan mereka akan mengumumkan beberapa permainan baru setiap hari bermula kelmarin sehingga E3. Permainan pertama yang diumumkan adalah Tetris Effect.

Permainan ini adalah hasil kerja tangan Tetsuya Mizuguchi iaitu pereka permainan video terkenal dengan permainan seperti Lumines dan Rez. Melalui nama permainan ini sudah semestinya anda boleh menjangkakan mengenai permainan ini, Tetris.

Jika anda tidak pernah mendengar apa itu Tetris, anda sudah semestinya mempunyai masalah. Disertakan dengan pengumuman adalah trailer yang memperlihatkan persekitaran berwarna warni dan diiringi dengan lagu rancak.

Turut disertakan adalah suara latar yang sedang membaca maksud kepada perkataan ‘Tetris Effect’ iaitu keadaan apabila seseorang meluangkan masa terlalu banyak untuk sesuatu aktiviti yang akhirnya membentuk pemikiran mereka.

Permainan ini akan mempunyai lebih pada 30 peringkat dan setiap peringkat akan mempunyai latar belakang, musik, watak dan animasi yang direka khas untuk setiap peringkat. Selain itu permainan ini juga mempunyai tiga mod iaitu Marathon, Ultra dan Sprint.

Tetris Effect akan dikeluarkan untuk Playstation 4 dan mempunyai sokongan PSVR tetapi anda tidak memerlukannya untuk bermain. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku keempat 2018. Lebih banyak informasi mengenai permainan ini akan dikongsi-kan semasa E3 kelak.


TIPS & ULASAN