Tidak kira anda menyukai PUBG ataupun tidak akan tetapi sesuatu yang boleh dipuji adalah mereka sering berkomunikasi dengan permain, kebiasaan untuk mengumumkan sesuatu penambah-baikkan ataupun kandungan baru.

Melalui penulisan terbaru di Steam, mereka mengatakan semenjak PUBG dikeluarkan pada awal tahun ini mereka sudah membuat pelbagai penambah-baikkan dan juga memperkenalkan kandungan baru akan tetapi mereka mengakui yang dari segi prestasi dan kelancaran permainan PUBG masih bukan di tahap yang memuaskan.

Oleh disebabkan itu, kini sebarang pembangunan PUBG akan memfokuskan kepada tiga perkara iaitu prestasi permainan, mengoptimumkan pelayan dan juga penipuan. Mereka juga mengatakan selepas beberapa kemaskini sebelum ini, mereka menerima pelbagai laporan mengenai masalah prestasi seperti FPS menurun, visual tersangkut dan prestasi yang tidak baik secara menyeluruh.

Untuk masalah ini mereka mengatakan yang sudah menjumpai masalah yang berlaku dan akan mengeluarkan kemaskini secepat yang mungkin. Mereka juga mengatakan bermula sekarang sebarang kemaskini akan dikeluarkan terus tanpa mengumpulkannya terlebih dahulu.

Dengan Fortnite makin mendapat tempat dan permainan-permainan battle royale yang lain hadir bagaikan cendawan selepas hujan, PUBG perlu menyelesaikan secara segera sebarang masalah yang boleh membuatkan pemain hilang sabar.

Sohor Kini