Filem Animasi Berdasarkan Permainan To The Moon Disahkan Pereka

To The Moon merupakan permainan pengembaraan yang sangat memfokuskan penceritaan. Dikeluarkan pada tahun 2011, permainan ini mendapat pujian kerana jalan cerita yang sangat menarik dan menyentuh hati.

Dari awal pengeluaran lagi ramai yang meminta agar permainan ini dijadikan sebagai satu filem animasi terutama untuk yang tidak gemar bermain permainan video. 7 tahun kemudian, tampaknya permintaan tersebut bakal menjadi kenyataan.

Melalui video yang dimuat naik di Youtube rasmi pereka permainan ini Kan Gao, beliau mengesahkan To The Moon akan dijadikan satu filem animasi. Filem ini adalah hasil kerjasama syarikat penerbitan filem animasi dari Jepun dan kewangan dari syarikat China iaitu Ultron Event Horizon yang bertanggungjawab membawa animasi Your Name ke China.

Dari segi bajet, kebanyakan kewangan sudah disahkan dan dari penilaian awal bajet untuk filem To The Moon adalah lebih tinggi berbanding Your Name. Beliau sendiri akan terlibat dari segi skrip dan penasihat, akan tetapi beliau mengatakan syarikat beliau iaitu Freebird Games akan terus mengeluarkan permainan.

Ini merupakan satu berita yang baik bagi penggemar permainan To The Moon yang sudah semestinya membuatkan ramai orang menangis termasuk jugalah kami.

Sohor Kini