Informasi Permainan Video Terkini
Juara Football Manager World Championships 2018 Akan Mengurus Pasukan Bola Sepak Di Dunia Sebenar
PC

Juara Football Manager World Championships 2018 Akan Mengurus Pasukan Bola Sepak Di Dunia Sebenar

Diterbitkan pada Apr 11, 2018 oleh .

Football Manager ialah permainan yang suatu ketika dahulu menyebabkan saya tidak tidur selama dua hari, tidak makan sepanjang hari dan gagal beberapa mata pelajaran. Bagi mengelakkan masa depan yang kelam, saya berhenti memainkan FM sekitar 2002 dan sehingga kini bebas dari ketagihan menjadi pengurus maya kelab Altrincham FC.

Permainan video ini masih mempunyai jutaan pemain tegar di seluruh dunia. Ramai yang merasakan diri mereka lebih hebat daripada Klopp, lebih taktikal daripada Guardiola dan lebih angkuh daripada Mourinho. Dan Fry ialah juara Football Manager World Championships 2018 yang berlangsung untuk julung kalinya. Selain hadiah £15,000, beliau  juga diberikan peluang menguruskan pasukan bola sepak di dunia sebenar.

Untuk satu perlawanan beliau akan menjadi pengurus Norwich City Legends menentang Inter Forever di dalam sebuah perlawanan persahabatan pada 20 Mei hadapan. Sebagai bekas pemain FM ini ialah hadiah yang kami rasakan menarik untuk melihat sama ada kepakaran di dalam permainan boleh digunakan di dunia sebenar. Paling menarik sekali ialah FM kini sudah menjadi sebuah e-sukan. Ini amat tidak dapat kami sangka.