Bersempena dengan acara PAX East 2018 yang berlangsung minggu ini, Microsoft dan Undead Labs mempertontonkan trailer terbaru buat permainan zombi akan datang, State Of Decay 2 yang mana mereka berkongsi sebilangan bentuk permainan yang baru.
Selain daripada bentuk permainan secara dunia terbuka, pemain juga tampaknya berpeluang untuk melanggar dan membunuh zombi-zombi dengan menggunakan kenderaan selain daripada penggunaan senjata api sebagai senjata bertempur.
Tambahan juga, melalui permainan ini, pemain perlu sentiasa mengawal komuniti kawasan tersebut seperti mengumpul barangan untuk terus hidup dan menetapkan ketua kawasan.
State Of Decay 2 adalah permainan pertahanan hidup yang dibangunkan oleh Undead Labs dan dilancarkan oleh Microsoft. Ia merupakan permainan seterusnya buat siri State Of Decay yang mana permainan pertamanya dilancarkan pada 2013 lepas. State Of Decay 2 bakal dilancarkan buat PC dan Xbox One bermula 22 Mei ini.