5 Kedai Permainan Digital Untuk PC Pilihan Kami

Razer hari membuat kejutan dengan mengumumkan kedai permainan digital mereka sendiri iaitu Razer Game Store. Dengan penambahan kedai terbaru ini nampaknya pemain PC mempunyai banyak (mungkin terlalu banyak) pilihan untuk dijadikan tempat membeli permainan.

Oleh itu kami ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan anda 5 kedai permainan digital pilihan kami dari lambakan kedai yang terdapat sekarang.

Steam

Kami rasa tidak sah jika menyenaraikan kedai permainan digital jika tidak dimasukkan Steam iaitu kedai permainan digital dari Valve yang sudah sekian lama menjadi pendahulu dalam pasaran digital untuk PC walaupun sudah banyak pencabar-pencabar yang ada.

Sebab utama kami lebih memilih Steam adalah kerana penggunaan mata wang ringgit. Oleh kerana itu sebarang perubahan kepada pertukaran mata wang tidak akan memberi kesan kepada harga permainan di dalam Steam (untuk jangka masa pendek). Selain itu kebanyakan harga permainan di Steam adalah lebih murah jika dibandingkan dengan pertukaran mata wang terkini.

Steam masih lagi mempunyai pilihan permainan yang banyak, pada tahun 2017 sahaja Steam menerima lebih 6000 permainan walaupun kebanyakan adalah permainan yang tidaklah bagus tetapi ini bermakna pemain mempunyai lebih banyak pilihan.

Melalui Steam juga pemain boleh bertukar hadiah ataupun menjual barangan di dalam permainan melalui market yang disediakan. Akan tetapi kami masih berharap Steam mengubah antaramuka mereka yang sudah ketinggalan.

Steam

GOG

GOG ataupun nama lama Good Old Games yang dioperasi oleh GOG Sp iaitu syarikat yang dimiliki penuh CD Projekt Red pembangun siri permainan The Witcher. GOG mempunyai pilihan permainan agak sedikit jika ingin dibandingkan dengan kedai-kedai permainan digital lain akan tetapi ini adalah kerana polisi mereka untuk tidak meletakkan sebarang DRM ke atas permainan yang dijual.

Permainan yang tidak mempunyai sebarang DRM adalah lebih mudah untuk dimiliki kerana dengan memuat turun permainan ini, anda boleh memasangnya kesemua PC anda tanpa memerlukan sebarang pengesahan ataupun sambungan internet. Ini sangat berguna jika anda mempunyai lebih daripada satu PC ataupun laptop dan sambungan internet yang terhad.

GOG juga mempunyai aplikasi mereka sendiri seperti Steam jika pemain memilih untuk menggunakannya tetapi tidak diwajibkan. Walaupun tidak mempunyai pilihan permainan yang banyak tetapi untuk permainan yang dikeluarkan di GOG kami akan mendapatkannya melalui GOG berbanding Steam walaupun untuk permainan yang harga lebih mahal kerana tukaran mata wang. GOG masih menggunakan US Dollar  sebagai mata wang utama.

GOG

Gamersgate

Berbeza dengan Steam dan GOG, Gamersgate sekadar menjual permainan tersebut tetapi tidak menyediakan tempat untuk memuat turun sebaliknya pembeli akan diberi kod yang boleh digunakan di Steam, ataupun Uplay untuk permainan yang dikeluarkan oleh Ubisoft.

Oleh kerana mereka sekadar menjual kod permainan, boleh dikatakan Gamersgate mempunyai pilihan permainan seperti Steam. Kami menggemari Gamersgate kerana mereka turut menggunakan Ringgit untuk pembeli di Malaysia dan juga sistem Blue Points.

Melalui sistem Blue Coins (BC) sebarang pembelian anda akan mendapat pulangan sebanyak 5% daripada harga permainan di dalam bentuk BC. Sebagai contoh jika anda membeli permainan yang berharga RM219 anda akan mendapat 10 BC. Semasa penulisan artikel ini 258BC bersamaan RM 1. Selain daripada membeli permainan anda juga boleh mendapati BC dengan pelbagai cara lain seperti pra-tempah dan juga meninggalkan ulasan untuk sesuatu permainan. Akan tetapi BC mempunyai tamat tempoh iaitu 12 bulan.

Gamersgate

Green Man Gaming

Green Man Gaming tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Gamersgate, sebarang pembelian melalui mereka akan menerima kod yang boleh digunakan di Steam ataupun Uplay. Green Man Gaming juga menggunakan ringgit sebagai mata wang untuk pembeli di Malaysia.

Mengikut pemerhatian kami Green Man Gaming lebih kerap menganjurkan jualan promosi dan harga yang ditawarkan juga lebih murah akan tetapi selain pada itu kedai ini tidak menawarkan sebarang kelainan jika ingin dibandingkan dengan kedai-kedai yang kami senaraikan di atas.

Green Man Gaming

Humble Bundle

Humble Bundle pada awalnya hanya menawarkan permainan yang tetap, menariknya pembeli boleh menentukan sendiri harga yang ingin dibayar selain pada itu pembeli juga boleh menentukan pecahan hasil pembelian akan diberikan kepada pembangun, Humble Bundle dan juga kepada organisasi amal.

Pada tahun 2013 mereka memperkenalkan Humble Store iaitu kedai permainan digital seperti kedai permainan digital yang lain di mana permainan akan ditawarkan secara tetap tidak seperti Humble Bundle yang mempunyai jangka masa.

Humble Bundle masih menggunakan mata wang US Dollar dan harga yang ditawarkan agak mahal apabila dibandingkan dengan Steam akan tetapi Humble Store juga sering menganjurkan jualan promosi dan juga menawarkan permainan secara percuma. Selain daripada itu setiap pembelian, 10% daripada hasil jualan akan diberikan kepada organisasi amal.

Humble Bundle

Walaupun lima kedai yang tersenarai di atas merupakan kedai permainan pilihan kami akan tetapi kami juga akan melihat kedai-kedai lain untuk membandingkan harga, tetapi berdasarkan pengalaman kami lima kedai di atas adalah yang sentiasa menawarkan promosi yang baik.

Bagaimana dengan anda, kedai mana yang menjadi pilihan untuk anda mendapatkan permainan digital bagi PC? Adakah anda merasakan PC mempunyai terlalu banyak kedai di atas talian?

Penafian: Pautan yang disertakan mungkin mengandungi pautan affiliate

Sohor Kini