Pengguna Reddit Archer Anders melalui penulisan di sub-reddit Dragon Age berkongsi perbincangan bersama Ketua Penulis Dragon Age Patrick Weekes, Ketua Editor Bioware Karin Weekes dan Bekas Ketua Penulis Dragon Age semasa acara HavenCon yang berlangsung di Austin.
Ada pelbagai perkongsian menarik mengenai Dragon Age yang dikongsikan seperti pada awalnya permainan ini dipanggil sebagai Chronicle sebelum ditukar kepada Age of Dragon oleh pihak pemasaran.
Oleh kerana nama permainan ini mempunyai Dragon, watak Archdemon yang sepatutnya merupakan iblis ditukar menjadi naga kerana agak janggal untuk permainan yang bernama Age of Dragon tidak mempunyai sebarang naga. Kemudian nama ditukar kepada Dragon Age kerana permainan ini dijangkakan akan dikeluarkan berhampiran dengan Age of Empires.
Mereka juga menyatakan yang pembangunan untuk Dragon Age 2 agak dipercepatkan kerana mereka sudah kehabisan wang dan jika EA tidak membeli dan mengambil alih Bioware, mereka terpaksa ditutup. Tambah mereka sudah semestinya EA mementingkan kewangan akan tetapi mereka tidak pernah memaksa atau menghalang Bioware untuk melakukan sesuatu. Jika mereka mempunyai idea yang baru EA hanya akan mempersoalkan adakah ia boleh dilakukan dengan baik.
Selain perkongsian mengenai nama Dragon Age, kami sudah semestinya tertarik dengan kenyataan mereka mengenai EA. EA sering dipersalahkan apabila permainan yang dikeluarkan oleh Bioware tidak mendapat reaksi yang baik tetapi jika tidak kerana EA, mungkin Bioware sudah tidak wujud sekarang.
Anda boleh membaca lebih banyak perkongsian mengenai Dragon Age melalui pautan yang kami sediakan pada awal penulisan ini. Apa pendapat anda mengenai EA membantu Bioware untuk terus mengeluarkan permainan?