Permainan Middle-Earth: Shadow of War sebelum ini mempunyai transaksi-mikro yang membolehkan pemain melakukan urusniaga melalui The Market iaitu sebuah kedai di dalam permainan tersebut khas untuk pemain membeli barangan seperti Loot Boxes, War Chest, XP Boost dan Bundles.
Terdapat dua cara untuk membeli barangan tersebut iaitu dengan menggunakan Mirian atau Gold. Pemain boleh mendapatkan mata wang Mirian dengan melakukan misi, dan memusnahkan Orcs sepanjang permainan tersebut. Bagi mata wang Gold pula, pemain boleh menggunakan wang betul untuk membeli di Playstation Store, Xbox Store atau di Steam.
Hari ini Warner Bros mengumumkan yang Gold tidak lagi boleh didapati menggunakan wang betul sebaliknya pemain hanya boleh mendapatkan Mirian dengan bermain. Menurut mereka keputusan ini dibuat untuk memastikan pemain dapat mengalami permainan ini secara sepenuhnya. Tambah mereka permainan yang memilih untuk membeli Gold kemungkinan besar terlepas banyak penceritaan.
Kami tidak pasti mengapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyedari yang transaksi-mikro di dalam permainan seperti ini adalah tidak baik akan tetapi kami tetap memuji tindakan ini dan berharap ia tidak lagi digunakan untuk siri permainan Middle-Earth akan datang.
Pembuangan ini akan berlaku apabila kemas kini untuk permainan ini dikeluarkan pada 8 Mei. Jika pemain memiliki Gold, pemain boleh membelanjakannya sehingga 18 Julai selepas itu sistem Gold akan dibuang sepenuhnya.