Bagi anda yang mengikuti perkembangan permainan Final Fantasy, anda pasti mengetahui berkenaan Final Fantasy XV asalnya merupakan Final Fantasy Versus XIII iaitu sebahagian daripada Fabula Nova Crystallis: Final Fantasy yang diletakkan di dalam dunia mitos yang sama dengan permainan Final Fantasy XIII.
Kini, Square-Enix berkongsi trailer terbaru buat permainan Dissidia Final Fantasy NT yang mana watak utama Final Fantasy XV akhirnya bertemu dengan watak utama Final Fantasy XIII, Lightning.
Melalui trailer yang dipertontonkan, ia menunjukkan bahawa permainan Dissidia Final Fantasy NT sememangnya merupakan kesinambungan buat penceritaan bagi permainan Duodecim Dissidia Final Fantasy yang dilancarkan di Playstation Portable pada 2011 lepas.
Pada masa yang sama, Square-Enix juga berkongsi video pengenalan buat permainan tersebut yang mana ia memaparkan sebilangan watak-watak Final Fantasy yang boleh dimainkan melalui permainan tersebut.
Pada Ogos lepas juga, Square-Enix juga telah berkongsi berkenaan edisi permainan ini dengan pelbagai edisi seperti edisi Deluxe dan juga edisi Brawler. Pada Tokyo Game Show 2017 September yang lepas, kami juga berpeluang untuk menemu ramah pengarah permainan Dissidia Final Fantasy NT.
Dissidia Final Fantasy NT adalah permainan perlawanan yang dibangunkan oleh Team Ninja dan dikeluarkan oleh Square-Enix. Permainan ini mengandungi watak-watak dari siri Final Fantasy dan ia bakal dilancarkan pada 30 Januari 2018 di Playstation 4. Anda boleh membuat pra-tempahan permainan ini dimana-mana pengedar rasmi dan juga di kedai atas-talian PSN Store.