Skip to main content

Pada Paris Games Week 2017 yang lepas, Capcom dan Sony Interactive Entertainment mengumumkan bahawa beta terbuka bagi permainan Monster Hunter: World bakal bermula pada 9 Disember ini. Kini Capcom berkongsi informasi lanjut berkenaan beta terbuka tersebut bagi mereka yang melanggan Playstation Plus.

Beta terbuka tersebut akan dilancarkan hanya di Playstation 4 bermula 10 sehingga 13 Disember. Ia akan bermula pada jam 1 pagi (Waktu Malaysia) pada 10 Disember dan berakhir pada jam 12:59 pagi pada 13 Disember. Bagi anda yang berminat, anda perlu melanggani Playstation Plus untuk mencuba Beta tersebut dan mempunyai ruangan storan Playstation 4 sebanyak 5.9GB.

Beta tersebut akan menyertakan tiga misi dengan dua kawasan yang berlainan. Misi pertama, pemain ditugaskan untuk memburu Great Jagras di kawasan Ancient Forest. Bagi pemain yang lebih berpengalmaan, pemain boleh memburu Anjanath. Manakala kawasan kedua adalah Wildspire Waste dimana pemain berpeluang untuk memburu Barroth.

Capcom juga menyatakan bagi mereka yang mencuba beta tersebut dan melengkapkan misi-misi yang disediakan, pemain akan mendapat ganjaran istimewa jika pemain membeli permainan ini apabila ia dilancarkan.

Setiap misi yang disediakan ketika beta tersebut boleh dimainkan secara solo ataupun bersama pemain lain sehingga 4 jumlah pemain. Capcom juga menyertakan 14 jenis senjata yang berlainan dimana pemain boleh memilih untuk setiap gaya pemain masing-masing. Pemain juga berpeluang untuk mencuba senjata tersebut di ruangan latihan yang disediakan khas ketika beta tersebut.

Monster Hunter: World merupakan permainan aksi pengembaraan yang mana ia memfokuskan pemain untuk memburu raksasa-raksasa secara solo mahupun secara multi-pemain. Permainan ini bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan PC pada 26 Januari 2018. Pada Tokyo Game Show 2017, kami juga berpeluang untuk mencuba permainan ini dan memberi pandangan pertama kami dalam bentuk tulisan dan juga video.

Bagi anda yang berminat dengan permainan Monster Hunter: World, tandakan di kalendar anda bersempena beta terbuka yang bakal berlangsung 10 Disember ini.

Leave a Reply