Informasi Permainan Video Terkini
(Tokyo Game Show 2017) Pandang Pertama Monster Hunter: World

(Tokyo Game Show 2017) Pandang Pertama Monster Hunter: World

Diterbitkan pada Sep 26, 2017 oleh .

Monster Hunter: World merupakan siri permainan Monster Hunter yang terbaru kini kembali ke konsol utama. Ia diumumkan ketika E3 Jun lepas ketika sidang media Playstation. Pada Ogos lepas, kami juga sempat menemu-ramah Ryozo Tsujimoto, penerbit bagi permainan Monster Hunter World.

Minggu lepas, sempena Tokyo Game Show 2017, saya berpeluang untuk bermain permainan Monster Hunter World yang dibangunkan oleh Capcom. Demo yang dimainkan oleh saya adalah dalam bentuk multi-pemain di Playstation 4 Pro. Saya bersama dua lagi pemain lain ditugaskan untuk memburu raksasa dikawasan tersebut.

Pertama sekali apa yang saya suka berkenaan Monster Hunter: World adalah kawasannya yang luas. Pada permulaan pengembaraan saya, permainan ini meletakkan saya di kawasan kem kecil. Disitu saya berupaya untuk menukar tetapan, senjata dan juga barangan yang akan saya bawa untuk memburu. Ia juga mempunyai beberapa kem-kem di kawasan lain dimana saya boleh menerbang (Fast Travel) untuk ke lokasi yang berdekatan.

Dari segi bentuk permainan pula, Monster Hunter: World bermain dengan baik sekali. terutamanya lokasi kawasan yang dunia terbuka. Tidak seperti di Nintendo 3DS, Monster Hunter: World mempunyai kawasan yang luas dan pemain boleh mengembara secara lancar tanpa sebarang skrin loading.

Dari segi kawalan juga, permainan ini mempunyai bentuk kawalan yang senang untuk dimainkan. Terutamanya kawalan butang pintas L1 dimana ia membantu saya dari segi pemilihan barangan, senjata, peluru dan juga bual arahan pintas untuk saya berinteraksi sesama pemain lain. Kombinasi serangan juga senang dilakukan dan bagi mereka yang berminat dengan kepelbagaian senjata, permainan ini terdapat 14 jenis senjata yang berlainan cara dan bentuk permainannya setiap satu.

Seperti permainan Monster Hunter sebelum ini, untuk mula memburu, saya perlu mencari klu-klu dengan memeriksa kawasan-kawasan dan mencari tapak kaki atau kesan-kesan raksasa tersebut untuk memburunya. Apabila menjumpai raksasa tersebut, saya boleh menyerang hendap ataupun sebelum bertempur, saya boleh memasang beberapa perangkap dahulu sebelum menyerangnya. Elemen serangan hendap dalam permainan ini juga banyak membantu untuk menjatuhkan raksasa tersebut.

Akhir kata, bagi pandang pertama saya berkenaan permainan Monster Hunter: World ini ia sememangnya sebuah permainan yang sangat seronok dimain terutamanya secara multi-pemain. Permainan ini berupaya untuk dimain secara solo, tetapi dengan ditemani pemain lain, ia menjadi lebih seronok dan lebih taktikal untuk menjatuhkan raksasa.

Walaubagaimana pun, bagi pemain yang baru anda mungkin akan menghadapi sedikit masalah untuk bermula main tanpa sebarang pengalaman permainan sebelum ini, tetapi saya percaya semasa pelancaran permainan ini, Capcom akan menyediakan mod bimbingan untuk pemain baru.

Capcom juga minggu lepas mengumumkan edisi terhad bagi permainan Monster Hunter: World bersama berkas bersama Playstation 4 Pro. Monster Hunter: World bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan PC pada 26 Januari 2018.