Informasi Permainan Video Terkini
Permainan FIFA Oleh EA di Konsol Mungkin Tidak Lagi Dilancarkan Setiap Tahun Dan Bertukar Ke Sistem Langganan

Permainan FIFA Oleh EA di Konsol Mungkin Tidak Lagi Dilancarkan Setiap Tahun Dan Bertukar Ke Sistem Langganan

Diterbitkan pada November 9, 2017 oleh .

Pemain siri permainan sukan bola sepak FIFA oleh EA sering menghadapi masalah dimana mereka perlu membeli permainan tersebut setiap tahun untuk mendapatkan kemaskini terbaru permainan bersama kemaskini kedudukan pasukan bola sepak terkini. Melalui temu bual Bloomberg bersama CEO Electronic Arts, Andrew Wilson, beliau menyatakan bahawa mereka mungkin akan menukar sistem permainan tersebut ke sistem langganan berbanding melancarkan permainan tersebut setiap tahun pada masa akan datang.

Beliau menyatakan dengan peningkatan kandungan internet pada masa kini dimana jualan permainan video kini telah bertukar ke arah digital, kandungan permainan video juga boleh menjadi sebuah servis seperti Netflix dan Spotify. Namun, beliau tidak menyatakan sebarang harga mahupun ketibaan sistem langganan tersebut buat permainan FIFA pada masa terdekat.

Tetapi dengan sistem langganan ini, secara teorinya ia memudahkan pembangun dan juga pemain dimana mereka tidak lagi perlu membeli permainan setiap tahun untuk mendapatkan versi terkini permainan tersebut disamping menjimatkan dari segi kos penghantaran sekaligus membenarkan kandungan tambahan yang lebih murah.

Sistem langganan bukanlah sesuatu yang baru dalam bentuk permainan video. EA juga sebelum ini telah melancarkan EA Access dimana pemain berupaya untuk melanggan permainan dan bermain sebilangan permainan mengikut masa langganan. Namun dengan kehadiaran servis langganan tersebut buat permainan FIFA dan Madden, adakah anda berasa ia lebih sesuai dengan era teknologi sekarang buat permainan konsol? Atau ia akan menjadi seperti permainan mudah-alih (Permua) yang sering dikait rapat dengan mikro-transaksi dan servis langganan. Jangan lupa untuk tinggalkan komen dibawah.