Berita buruk bagi mereka yang menanti permainan Star Wars yang dibangunkan oleh Visceral Games dan juga peminat siri permainan Dead Space, Visceral Games hari ini disahkan ditutup oleh EA. Naib presiden EA Worldwide Studios, Patrick Soderlund menyatakan bahawa mereka bakal memperalihkan pembangun-pembangun dari studio tersebut untuk ke projek lain di dalam syarikat tersebut.
Visceral Games, terkenal dengan siri permainan Dead Space juga sedang membangunkan permainan aksi pengembaraan Star Wars yang diberi nama kod Ragtag. Kini permainan tersebut akan di ambil alih oleh EA Vancouver. Patrick Soderlund juga menyatakan bahawa mereka akan membawa permainan Star Wars tersebut ke arah yang lebih meluas dengan memfokuskan keupayaan pemain untuk mengembara.
Permainan Star Wars tersebut asalnya dirancang untuk dilancarkan pada tahun 2019, tetapi dengan penutupan studio pembangun permainan Visceral Studio, EA menyatakan bahawa mereka akan mengumumkan jangka masa pelancaran permainan tersebut pada masa akan datang.