Pada PSX 2017 SEA yang lepas, Ryozo Tsujimoto penerbit bagi siri permainan Monster Hunter sempat berkongsi berkenaan permainan mereka yang akan datang iaitu Monster Hunter World.
Monster Hunter World adalah permainan yang telah diumumkan ketika E3 2017 Jun lepas. Ia merupakan permainan siri Monster Hunter terbaru dan bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan PC. Permainan ini akhirnya kembali ke konsol setelah beberapa tahun siri permainan Monster Hunter dilancarkan di Playstation 2 dan ia berpindah ke konsol Nintendo 3DS untuk beberapa siri.
Ryozo Tsujimoto memulakan persembahan beliau dengan menunjukkan bentuk permainan Monster Hunter World di kawasan Ancient Forest. Terdapat beberapa perubahan dari segi bentuk permainan Monster Hunter World ini berbanding siri lain, antaranya ialah keupayaan untuk mengubah kelengkapan di kem, dan kawasan permainan adalah dalam bentuk dunia-terbuka. Ini sekaligus memberi permainan ini kawasan yang lebih besar sehingga 2.5 kali ganda berbanding siri permainan ini sebelum ini.
Ryozo Tsujimoto juga menyatakan Monster Hunter World tidak akan disertakan bersama Guild Quest Mode. Dari segi multi-pemain pula, ia akan menggunakan sambungan peer-to-peer. Hunter Rank juga bakal kembali dan mereka bakal memperkenalkan raksasa baru pada masa akan datang.
Buat masa sekarang, masih lagi tiada informasi berkenaan pas musim ataupun sebarang penambahan. Permainan ini juga bakal mempunyai sokongan untuk Playstation 4 Pro dan ia bakal tiba awal tahun 2018 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.