Skip to main content

Bagi peminat-peminat idola maya Hatsune Miku, anda pasti sudahpun mengetahui bahawa Crypton Media, syarikat yang membangunkan bank suara penyanyi maya berasaskan perisian Vocaloid, bersama-sama Astro, pengendali televisyen satelit Malaysia merancang untuk mengadakan konsert Miku Expo di Malaysia pada 16 Disember kelak.

Terkini, syarikat tersebut baru sahaja mengumumkan butiran mengenai konsert tersebut, termasuklah lokasi, harga tiket, dan juga artis-artis yang akan mengiringi Hatsune Miku – Zizan Razak dan Chaleeda Gilbert.

Lokasi Miku Expo 2017 Malaysia ialah di stadium Axiata Arena Bukit Jalil, dimana 6500 peminat dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara boleh melihat konsert hologram Hatsune Miku ini. Stadium Axiata Arena tersebut boleh menampung sehingga 16000 peminat, tetapi menurut penganjur acara tersebut, mereka mengehadkan jumlah pengunjung untuk memastikan pengunjung dapat menonton konsert tersebut dengan selesa.

Dua artis yang dijemput untuk memeriahkan lagi konsert Miku Expo adalah Zizan Razak dan Chaleeda Gilbert. Zizan Razak, seorang artis dengan pelbagai bakat akan mendendangkan beberapa lagu bersama-sama dengan Hatsune Miku, termasuklah lagu-lagunya sendiri.

Chaleeda Gilbert pula seorang artis kacukan Thailand dan Britain dibawah label indie Rocketfuel Entertainment. Beliau juga akan menyanyikan beberapa lagu bersama-sama Hatsune Miku di Miku Expo nanti.

Menurut pihak penganjur Miku Expo 2017 Malaysia lagi, mereka juga akan menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti lain sepanjang hari sebelum konsert Miku Expo tersebut, yang akan diadakan di waktu malam. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah penjualan barang-barang rasmi Hatsune Miku, kawasan bermain permainan video berdasarkan Hatsune Miku dan idola Vocaloid lain.

Harga tiket untuk konsert Miku Expo ini juga diumumkan, dan ia bermula dari RM169, RM269, RM339 dan RM439. Tiket-tiket tersebut boleh mula dibeli pada 8 Oktober 2017 melalui laman pembelian tiket MyTicket.

Leave a Reply