Informasi Permainan Video Terkini
Planet of the Apes: Last Frontier Diumumkan – Permainan Filem Interaktif

Planet of the Apes: Last Frontier Diumumkan – Permainan Filem Interaktif

Diterbitkan pada Ogos 17, 2017 oleh .

Filem trilogi Planet of The Apes baru sahaja selesai ditayangkan di pawagam tempatan. Pada hemat kami War For The Planet of The Apes ialah yang terbaik di antara ketiga-tiga filem yang dihasilkan. Bagi mereka yang masih dahagakan kisah Planet of The Apes, permainan video Planet of The Apes : Last Frontier baru sahaja diumumkan.

Permainan ini unik kerana ia adalah sebuah filem interaktif sepanjang 2-3 jam yang berlaku di antara Dawn of The Planet of The Apes dan War For The Planet of The Apes. Menurut pembangun Last Frontier, pemain tidak perlu melakukan sebarang aksi atau menyelesaikan teka teki. Mereka hanya perlu memilih dialog yang dipaparkan di atas skrin. Ini menyerupai corak permainan yang dipopularkan oleh Telltale Games sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Last Frontier diterbitkan oleh The Imaginarium, syarikat yang dimiliki oleh Andy Serkis yang melakonkan watak Caesar. Bagi yang berminat permainan ini akan dilancarkan pada musim luruh 2017 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.