Skip to main content

Bagi mereka yang mengikuti siri permainan DJ Max Portable di PSP pada tahun 2008, permainan rentak muzik oleh Pentavision dari Korea, kini mereka hadir dengan siri DJ Max terbaru iaitu DJ Max Respect yang dilancarkan khas di Playstation 4 pada 28 Julai yang lepas.

DJ Max Respect dibangunkan oleh Rocky Studio dengan kerjasama DJMax Sound Lab Team dan dikeluarkan oleh Neowiz. Permainan ini merupakan permainan akhir dari siri DJ Max

Sipnosis

Dari segi penceritaan, secara jujurnya, permainan ini tidak mempunyai apa-apa penceritaan. Ia adalah hanya permainan dalam bentuk arked. DJ Max Respect mengadungi 106 lagu dari siri permainan DJ Max Portable 1 dan Portable 2. Tambahan juga, sempena pelancaran permainan ini, mereka juga memperkenal 40 lagu baru khas untuk permainan ini.

Buat lagu dari siri DJ Max yang lain pula, Neowiz mengumumkan bahawa mereka bakal menambah lagu-lagu tersebut secara pernambahan berbayar pada masa akan datang.

Grafik

Dari segi grafik pula, permainan ini sememangnya sangat seronok dimain kerana setiap animasi yang dipertayangkan di permainan ini dipernaik-taraf dengan kualiti 1080p dengan framerate 60fps. Dengan rekaan antaramuka pengguna yang senang difahami, termasuklah dari kesan efek-efek khas muzik permainan, ia sememangnya seronok untuk dilihat.

Audio

Audio merupakan aspek penting untuk permainan ini kerana ia merupakan permainan muzik. Bagi saya, permainan DJ Max tidak pernah mengecewakan saya dari segi audio, muzik dan bunyi latar. Setiap muzik yang dipermainkan memberi kualiti audio yang sangat memuaskan sekaligus meletakkan pemain di dalam kedudukan yang tinggi kerana hasil muzik yang dimainkan mengikut prestasi tahap permainan pemain. Setiap rentak yang dimainkan sangat mengasyikkan terutamanya bagi mereka yang bermain dengan menggunakan fon kepala.

Kawalan Permainan

Dari segi bentuk permainan, sememangnya DJ Max merupakan salah satu permainan muzik rentak yang sangat susah. Permainan ini menyertakan beberapa mod permainan, antaranya adalah mod Arcade, Freestyle dan Online. Setiap mod yang disertakan pula, pemain berupaya untuk bermain dengan beberapa bentuk permainan iaitu dengan menggunakan 4 Button, 5 Button, 6 Button atau 8 Button. Kami di Aksiz berupaya untuk bermain hanyalah 4 Button kerana mod button yang lain agak susah untuk dimainkan. Walaubagaimana pun, ia juga tidak melupakan beberapa butang tambahan seperti penggunaan Analog untuk membuat seolah anda memutar turntable.

Didalam mod Arcade, pemain perlu menglengkapkan setlist dengan bermain 3 muzik. Mod ini merupakan mod asli dari siri-siri sebelum ini dimana pemain perlu memilih muzik mengikut peringkat dan bermain hingga anda berjaya menghabiskan ketiga-tiga muzik tersebut. Dibawah pula adalah contoh bentuk permainan untuk muzik Chrono Breaker yang merupakan muzik dari DJMAX Portable 1.

Mod Multi-Pemain

Permainan ini juga menyertakan mod multi-pemain dimana pemain boleh bertempur dengan pemain-pemain lain secara atas talian. Tetapi yang saya hadapi ketika bermain secara atas-talian adalah tidak banyak pemain yang bermain. Kemungkinan disebabkan permainan ini jarang dimain oleh orang lain atau seperti saya sendiri, saya lebih suka bermain secara berseorangan untuk bermain permainan ini hanyalah untuk menikmati muzik-muzik yang disertakan. Dari segi bentuk permainan ketika bermain secara atas-talian pula, ia tidak memberi apa-apa kelainan selain hanyalah pemain bertempur untuk mendapat markah yang lebih tinggi. Pemain juga berupaya untuk mendapat beberapa ganjaran seperti ikon pemain tambahan dan gambar latar ketika di profil pemain.

Kesimpulan

Kesimpulannya permainan ini seronok dimain, tetapi bagi pemain macam saya yang biasa bermain permainan DJMAX secara mudah alih di PSP beberapa tahun lepas, bermain permainan ini di konsol rumah agak janggal bagi saya dan kurang sesuai. Dengan bentuk permainan secara arked dan pemain berupaya untuk menghabiskan satu pusingan arked dalam hanyalah beberapa minit, bagi saya ia lebih sesuai jika ia dilancarkan juga di Playstation Vita atau Nintendo Switch.

Bagi anda yang berminat dengan permainan rentak muzik dan juga muzik kelab atau muzik-muzik Kpop, anda mungkin akan berminat permainan ini. Permainan ini boleh dibeli di mana-mana pengedar rasmi Playstation dengan harga RM219 dan juga di PSN Store secara digital dengan harga RM209.

Leave a Reply