Embracer Group merupakan syarikat induk untuk sejumlah studio-studio permainan video seperti Gearbox Entertainment, Plaion, Saber Group, dan THQ Nordic. Mereka juga merupakan pemilik untuk IP seperti The Lord of the Rings.
Pemilikan ini adalah daripada perkembangan pesat melalui pengambil-alihan yang berlaku untuk beberapa tahun lepas. Namun kini, melalui surat terbuka oleh Lars Wingefors iaitu CEO untuk Embracer Group, penstrukturan semula akan berlaku bermula sekarang sehingga Mac 2024.
Sasaran untuk penstrukturan ini adalah ingin menjadikan Embracer bukan sekadar syarikat yang mengambil-alih tetapi syarikat yang berkeupayaan untuk menjana kewangan secara sendiri. Fasa pertama untuk penstrukturan semula ini akan memfokuskan kepada penjimatan pembelajaran.
Fasa seterusnya, mereka akan melakukan analisa bagi menentukan tindakan khusus yang perlu diambil. Dengan fasa terakhir, mereka akan melakukan penyatuan secara dalaman, penggunaan sumber dan lebih sinergi dengan sesama sendiri.
Di dalam proses ini, beliau mengatakan yang pembuangan pekerja akan berlaku akan tetapi mereka masih tidak dapat memberikan jangkaan jumlah untuknya. Selain itu, beberapa studio juga akan dijual ataupun ditutup, projek-projek permainan video juga akan dibatalkan tetapi mengatakan yang ia melibatkan permainan-permainan kecil ataupun yang tidak diumumkan lagi.
Permainan-permainan yang sudah diumumkan sebelum ini seperti Tomb Raider, permainan Lord of the Rings, dan Deus EX berkemungkinan besar tidak akan terjejas dengan pembatalan ini.
Embracer Group sebelum ini telah mengatakan yang satu perjanjian pelaburan sebanyak $2 bilion telah dibatalkan oleh pihak yang tidak dinyatakan. Ini berkemungkinan besar memaksa mereka untuk melakukan penstrukturan semula ini.


