James Wan cukup terkenal dengan pelbagai filem seram dan ngeri. Antara karya beliau adalah francais Saw dan juga filem-filem dalam The Conjuring Universe. Ya, “universe” – dunia filem-filem seram yang dimiliki oleh Warner Bros. Majoriti filem dalam dunia ini adalah berasaskan kisah benar kes-kes paranormal yang dikendalikan oleh Ed dan Lorraine Warren. Ia diberi nama The Conjuring Universe kerana filem pertama adalah The Conjuring.

Filem pertama mengambil inspirasi daripada kisah seram Amityville yang berkait dengan keluarga Lutz. Filem ini diteruskan dengan The Conjuring 2 atau nama lainnya The Conjuring 2: The Enfield Case yang berasaskan hantu poltergeist menganggu keluarga Peggy Hodgson. Filem ketiga sudah disahkan akan tiba sejak 2018, akhirnya kita dapat melihat video acah. Filem ketiga juga adalah berasaskan kisah benar, kes pembunuhan Arne Cheyenne Johnson yang turut dikenali sebagai Devil Made Me Do It – iaitu judul filem ketiga The Conjuring: The Devil Made Me Do It. Ia juga adalah filem kelapan dalam dunia ini.

Kes Arne Cheyenne Johnson adalah kes pertama yang dikenalpasti berlaku di Amerika Syarikat yang mendakwa suspek tidak bersalah kerana telah dirasuk oleh setan. Sudah semestinya Ed dan Lorraine membantu Arne dan juga pihak berkuasa. Dalam video acah, ia memperlihatkan serba sedikit mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Arne dilihat tidak sedar diri penuh dengan darah, kerana telah membunuh tuan rumah beliau Alan Bono.

Elemen klise turut kelihatan seperti pihak berkuasa yang tidak boleh menerima dakwaan peguam Arne, kerana tidak percaya dan tidak boleh buktikannya. Kemudian dengan bantuan Ed dan Lorraine, mereka membuka mata pihak berkuasa untuk membuktikan yang semuanya benar. Setan yang merasuk Arne berasal daripada setan yang merasuki kanak-kanak berusia 11-tahun David Glatzel, yang mana keluarga beliau telah disumpah akan diganggu oleh sejenis entiti.

Seperti biasa, Vera Farmiga meneruskan bakal lakonan beliau sebagai Lorraine Warren dan Patrick Wilson pula sebagai Ed Warren. Ruairi O’Connor dipilih untuk berlakon sebagai suspek utama Arne Cheyenne Johnson, Sarah Catherine Hook pula memainkan watak sebagai Debbie Glatzel dan Julian Hilliard sebagai David Glatzel. Filem ini tidak diarahkan oleh James Wan, tetapi beliau masih menjadi penerbit. Menggantikan beliau sebagai pengarah adalah Michael Chaves, pengarah filem seram berasaskan kisah legenda The Curse of La Llorona.

Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 27 Mei kelak di pawagam seluruh Malaysia.


Sebagai rujukan, berikut adalah senarai filem dalam dunia The Conjuring Universe;

Francais The Conjuring

  • The Conjuring (2013)
  • The Conjuring 2 (2016)
  • The Conjuring: The Devil Made Me Do It (2021)

Francais Annabelle

  • Annabelle (2014)
  • Annabelle: Creation (2017)
  • Annabelle Comes Home (2019)

Francais The Nun

  • The Nun (2018)
  • The Nun 2 (masih dalam pembangunan)

Filem kendiri

  • The Curse of La Llorona (2019)
  • The Crooked Man (masih dalam pembangunan, kisah entiti daripada filem The Conjuring 2)

Leave a Reply