Hot Wheels ialah jenama model kereta permainan yang cukup dikenali orang ramai di serata dunia. Model-model kereta permainan Hot Wheels biasanya diperbuat daripada besi, dan mempunyai kualiti yang cukup baik walaupun ia hanya model permainan ataupun pengumpul.
Milestone Team, syarikat pembangun di sebalik permainan video Hot Wheels: Unleashed baru-baru ini telah memperlihatkan sebuah video permainan alpha yang menunjukkan perlumbaan diantara kereta dengan pelbagai jenis saiz dan corak warna yang menarik.
Hot Wheels, yang juga dikenali untuk litar-litar bina-sendiri untuk kanak-kanak juga memperlihatkan kreativiti mereka melalui beberapa litar yang hadir dengan tanjakan, jalan pintas dan juga kebolehan meningkatkan kelajuan yang biasa dilihat juga dalam permainan-permainan video perlumbaan yang lain.
Buat masa ini, tidak semua butiran tentang permainan tersebut diketahui lagi. Milestone Team mengatakan bahawa jenis kereta, jumlah litar dan ciri-ciri tambahan yang akan tiba pada permainan ini akan diumumkan sepanjang tahun ini sebelum ia dilancarkan pada musim panas kelak.
Hot Wheels Unleashed akan hadir untuk platform permainan video Sony PlayStation 5, Microsoft Xbox Series X/S, Nintendo Switch dan PC pada 27 September kelak.


