Seperti yang dijanjikan oleh Monsta sebelum ini berkenaan untuk memfokuskan siri animasi Mechamato bagi tahun 2020 ini, mereka kini akhirnya berkongsi satu video khas memperlihatkan siri tersebut secara rasmi.

Seperti yang sering kami laporkan, siri animasi Mechamato akan memfokuskan watak Amato iaitu ayah kepada BoBoiBoy yang mana beliau mempunyai kuasa MechaBot, satu kuasa Power Sphera yang berupaya untuk menjenterakan dengan pelbagai objek.

Seperti yang anda lihat video tersebut di atas, semestinya siri ini kelihatan sangat menarik dengan visual rekaan watak yang sangat menawan dicampur dengan kesan robotik MechaBot yang sangat kompleks. Kami di Aksiz juga amat menyukai rekaan mekanikalnya yang berupaya untuk menjenterakan dengan pelbagai objek termasuklah Amato sendiri untuk menjadi satu sut perisai seakan adiwira Iron Man.

Semestinya perkara yang paling menarik minat kami adalah penghujung video tersebut yang mana kita dapat lihat beberapa watak rakan ataupun musuh-musuh yang bakal Amato tempuhi kelak apabila siri ini dipertayangkan secara rasmi.

Menurut Nizam Razak, ketua pegawai eksekutif Monsta di Facebook, video acah di atas sememangnya lebih kepada konsep dan klip buat siri tersebut yang asalnya hanya diperlihatkan secara dalaman sahaja. Dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini mereka mengambil keputusan untuk mempertayangkan secara rasmi buat peminat dan akan terdapat lebih banyak pengumuman yang akan diumumkan kelak.

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut juga telah mencapai lebih dari 200,000 tontonan dan ianya juga sedang tular di Twitter.

Dengan pengumuman ini juga, seperti yang diumumkan sebelum ini, Mechamato juga merupakan sebahagian daripada dunia Power Sphera Universe (PSU) iaitu dunia penceritaan daripada siri BoBoiBoy yang dikembang dari segi aspek filem, animasi mahupun komik.

Pada masa yang sama, Monsta juga mengadakan cabaran khas untuk peminat menghasilkan karya sendiri dengan kuasa gabungan jentera MechaBot dengan objek televisyen. Bagi anda yang berminat untuk sertai, anda boleh mengikuti saluran sosial media Mechamato secara rasmi untuk informasi lanjut.

Buat masa ini, tarikh tayangan rasmi Mechamato masih belum diumumkan dan memandangkan tahun ini merupakan tahun buat siri tersebut, kami percaya Monsta pasti akan berkongsi sebarang informasi tambahan dalam masa terdekat ini.

Leave a Reply