WayForward hari ini akhirnya mengumumkan permainan Shantae And The Seven Sirens yang telah pun dilancarkan di Apple Arcade sebelum ini, akan tiba konsol dan PC menjelang Mei ini. Bersempena dengan pengumuman ini, mereka juga umum kemaskini bahagian kedua buat versi Apple Arcade juga kini tiba.
Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, permainan Shantae And The Seven Sirens merupakan permainan kelima buat siri Shantae yang mana ianya memfokuskan watak Shantae, seorang jin dengan bentuk pengembaraan dan platformer secara 2 dimensi. Siri ini telah pun dilancarkan beberapa kali di mana permainan pertamanya di konsol GBA sekitar 2002 lepas.
Terkini melalui permainan kelima ini, ianya menyertakan pelbagai dunia yang pemain boleh terokai, beberapa kemahiran magis baharu dan watak-watak baharu yang akan pemain temui. Dengan sokongan resolusi sehingga 4K buat konsol PlayStation 4 Pro, Xbox One X dan PC, semestinya permainan ini akan kelihatan lebih menarik di konsol permainan video.
Bagi anda yang berminat, Shantae And The Seven Sirens akan dilancarkan pada 28 Mei 2020 ini di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Bagi anda yang tidak sabar untuk bermainnya, ianya telah pun dilancarkan di peranti iOS melalui langganan Apple Arcade sejak tahun lepas dan kini ia juga menerima kemaskini kandungan baharu.


