UNIQLO bakal melancarkan koleksi khas UT bersempena dengan tayangan filem Chiikawa the Mermaid Island di Malaysia pada 10 Ogos 2026. Seluruh rekaan pakaian dalam koleksi ini diselia secara langsung oleh pencipta manga asal berkenaan, Nagano.

Filem Chiikawa the Movie: The Secret of the Mermaid Island merupakan adaptasi filem animasi pertama bagi siri yang bermula di platform Twitter (X). Mengangkat jalan cerita “Siren Arc”, animasi filem ini dihasilkan oleh studio Cypic, yang sebelum ini menghasilkan filem Uma Musume Pretty Derby: Beginning of a New Era. Jalan ceritanya memfokuskan kepada kehidupan harian serta cabaran yang dihadapi oleh watak Chiikawa bersama rakan-rakannya, Hachiware dan Usagi.

Bagi kategori baju T, koleksi ini menawarkan empat rekaan untuk wanita pada harga RM59.90 dan empat rekaan untuk kanak-kanak pada harga RM39.90. Baju T ini boleh didapati di semua cawangan kedai UNIQLO di seluruh Malaysia serta menerusi kedai dalam talian uniqlo.com.
Selain itu, koleksi ini turut menyediakan pilihan sweatshirt yang merangkumi tiga rekaan wanita pada harga RM129.90 dan tiga rekaan kanak-kanak pada harga RM79.90. Penawaran bagi baju ini terhad di cawangan terpilih iaitu Fahrenheit88, Mid Valley Megamall, The Exchange TRX, 1 Utama, serta platform dalam talian rasmi uniqlo.com.


