Marvel Tokon akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos nanti akan tetapi baru-baru ini saya diberikan kesempatan untuk mencuba permainan tersebut buat pertama kali. Saya bukan pakar di dalam permainan pertarungan tetapi saya boleh katakan yang Marvel Tokon memfokuskan kepada pengurusan sumber yang dinamik, di mana momentum perlawanan dikawal ketat oleh peralihan gelanggang dan mekanik kebangkitan yang diolah dengan bijak. Kawalan juga agar mesra pemain yang tidak berpengalaman tetapi mempunyai kedalaman yang cukup untuk pemain meluangkan masa yang lama berlatih untuk menjadi pakar.

Walaupun permainan ini beroperasi di atas teras 4v4, pemain tidak diberikan akses penuh kepada senarai pasukan mereka secara terus. Setiap perlawanan bermula dengan hanya dua watak di gelanggang, iaitu seorang pejuang utama (mekanik ini penting untuk sesetengah serangan) dan seorang rakan bantuan. Baki dua watak dikunci dan pemain perlu memenuhi syarat tertentu di pertengahan perlawanan untuk mengakses mereka, seperti mengumpul sejumlah kerosakan, mencetuskan pemecahan dinding yang boleh dilakukan dengan melakukan serangan Light Combo ataupun melakukan throw semasa di hujung Stage, atau apabila kalah satu pusingan. Kesemua watak berkongsi satu bar kesihatan utama. Ini bermakna pertukaran watak tidak memberikan bar kesihatan baharu, dan pemain perlu memenangi tiga pusingan untuk menang perlawanan tersebut.

Tambahan pada itu, dengan membuka watak-watak lain, Skill Gauge yang digunakan untuk melakukan kemahiran tertentu juga akan bertambah, bermula dengan 100 sehingga 150 apabila membuka keempat-empat watak. Oleh itu, saya boleh katakan yang strategi awal permainan ini adalah untuk memastikan berlakunya pemecahan dinding, ataupun jika terasa pemain di luar kawalan, pemain juga boleh memilih untuk mengelak daripada berlakunya pemecahan dinding dan tewas di pusingan tersebut untuk terlebih dahulu membuka watak. Bagi memberi satu lagi peluang untuk mengelak daripada kekalahan saya juga boleh melancarkan serangan akhir berkumpulan yang dipanggil Assemble menggunakan R2 dan X, serangan ini mempunyai dua syarat, sudah tewas dua pusingan dan mempunyai 150 Skill Gauge penuh.

Arena pertarungan direka bentuk secara saling bersambung yang merangkumi tiga hingga lima skrin mendatar, ia penting untuk memberi kesan pemecahan dinding yang saya nyatakan di atas. Tindakan ini mengaktifkan sinematik peralihan yang ringkas, memindahkan pertarungan ke bahagian baharu arena dan secara langsung membuka kunci watak simpanan pemain. Apabila pemain telah tiba di penghujung arena mutlak di mana tiada lagi bilik baharu, lawan akan melantun dari dinding. Aksi pantulan sudut ini masih menyamai fungsi pemecahan dinding biasa dari segi mekanik permainan. Saya tidak sempat untuk meluangkan masa yang lama di setiap arena yang disediakan tetapi berdasarkan pengalaman ringkas saya boleh katakan ia kelihatan menarik dengan terdapat beberapa watak daripada Marvel yang membuat penampilan di bahagian belakang.

Bagi saya yang kurang berpengalaman di dalam permainan pertarungan, saya boleh katakan yang sistem input direka supaya lebih mudah diakses, membuang keperluan input pergerakan kompleks tradisional seperti suku bulatan. Pemain hanya menggunakan input berarah ringkas berserta satu butang khusus untuk kemahiran khas. Namun, jika pemain memilih untuk melakukan serangan menggunakan butang yang lebih kompleks, pemain akan diberikan kelebihan kekuatan serangan. Sistem auto-combo memainkan peranan besar di mana menekan butang Petak, Segi Tiga, atau Bulatan secara berterusan tiga kali akan melaksanakan rantaian yang berbeza. Petak memanggil rakan pasukan untuk penamat kombo (boleh mencetus pemecah dinding), Segi Tiga memfokuskan kepada kemahiran khas berkerosakan tinggi, manakala Bulatan mengikat kemahiran khas terus ke dalam serangan akhir Ultimate. Pemain juga boleh menekan Bawah dan Bulatan untuk melancarkan musuh ke udara bagi memulakan kombo juggle.

Dari segi pertahanan, pemain memerlukan timing yang sangat tepat untuk memanggil bantuan bagi mematahkan asakan lawan. Satu serangan balas yang ringkas adalah Crossover, semasa menyekat serangan lawan, saya boleh menekan X dan Petak untuk membuatkan watak lain dalam pasukan melakukan serangan, tetapi pihak lawan juga boleh menekan butang yang sama untuk Counter, dan jika dilakukan dengan timing yang tepat ia menjadi Perfect Crossover, sebuah serangan balas serentak.

Sepanjang sesi percubaan ini saya mencuba kesemua watak yang disediakan tetapi bukan senarai penuh. Walaupun dapat mencuba setiap watak untuk masa yang singkat sahaja, saya boleh katakan yang permaiann ini mempunyai kepelbagaian kelas dan pendekatan pertempuran dibina dengan sangat terperinci dan saya boleh kelaskan kepada gaya berikut:

Bagi pemain yang gemar mengawal ruang, Magneto beroperasi sebagai pakar zon teknikal yang meninggalkan sisa logam di arena untuk memperkuatkan serangannya atau mengenakan status magnet yang menarik lawan ke posisi berbahaya. Doctor Doom dan Storm masing-masing mendominasi kawalan zon; Doom menghujani musuh dengan projektil mendatar dan menegak yang menuntut blok kerosakan tinggi, manakala Storm cemerlang menutup ruang udara dengan puting beliung besar dan ancaman kilat. Danger turut menambah elemen kawalan ruang dengan meletakkan turet mekanikal bagi memaksa musuh melakukan kesilapan ketika mara.

Pertarungan jarak dekat diungguli oleh watak kelajuan tinggi. Wolverine adalah pejuang tekanan berterusan yang menggunakan kelajuan cakarnya untuk memerangkap lawan melalui serangan campuran rendah dan atas. Black Panther menyamai agresif ini menggunakan lonjakan dinding pantas untuk melemaskan taktik bertahan musuh. Spider-Man pula tertumpu kepada serangan udara yang laju, memanipulasi kebolehan Web Zip untuk mengelirukan pertahanan dan memiliki pergerakan menunduk yang membolehkan dia mengelak projektil tinggi secara menyeluruh. Captain America bermain lebih ringkas sebagai pejuang berasaskan momentum, bergantung kepada serangan fizikal berat dan lontaran perisai taktikal. Bagi pendekatan hibrid, Iron Man adalah pilihan mesra pemain baharu yang menggabungkan serangan pancaran skrin penuh dengan tendangan terjahan pantas.

Terdapat juga watak-watak yang memerlukan pengurusan risiko yang jauh lebih tinggi. Ghost Rider memaksa pemain memantau meter Vengeance; membiarkan meter ini mencapai tahap maksimum akan memberi peningkatan kerosakan besar tetapi berakhir dengan watak pegun dengan sendirinya melainkan pemain menyejukkannya menggunakan serangan rantaian tertentu. Magik sangat berbahaya dengan manipulasi portal dimensinya, namun libasan pedangnya yang berat mempunyai kadar pemulihan yang sangat perlahan jika tersasar. Star-Lord menuntut pengurusan buff dan senjata elemen secara berterusan, menjadikannya sasaran mudah jika pemain menekan butang secara melulu. Watak kegemaran saya, Peni Parker, watak berunsur rawak sepenuhnya yang mencampakkan item dan ancaman tidak dijangka ke lantai arena, mencetuskan situasi kacau-bilau yang menjejaskan struktur permainan kedua-dua belah pihak. Selain itu, dia juga sangat besar dan mengisi hampir separuh skrin semasa bertempur.

Akhir kata, Marvel Tokon mempunyai tarikan bukan sahaja menggunakan watak-watak popular daripada Marvel tetapi mempunyai sistem yang walaupun anda pemain baharu, anda boleh memahaminya dengan masa yang ringkas mengenai gaya serangan, bagaimana ingin melakukan sesuatu serangan, bertahan dan sebagainya. Namun, jika ingin menjadi lebih berkemahiran, sistem yang ringkas ini tiba-tiba mempunyai kedalaman tersendiri di dalam pemilihan serangan yang ingin dilakukan, seperti satu kata-kata cliche, mudah untuk belajar tetapi sukar untuk menjadi mahir.

Leave a Reply