Kemas kini Version 1.8 untuk permainan video Borderlands 4 bakal dilancarkan pada 25 Jun ini, dengan membawakan fungsi rentas kemajuan serta pelbagai kandungan endgame baharu secara percuma dan berbayar.

Melalui pengenalan fungsi rentas-kemajuan, pemain kini boleh memindahkan fail simpanan dan kemajuan watak Vault Hunter mereka dengan lancar merentasi mana-mana platform yang memiliki permainan Borderlands 4.

Bagi pemegang Borderlands 4 Super Deluxe Edition, akses akan diberikan secara automatik untuk semua kandungan daripada Bounty Pack Bundle (Bounty Pack 2, 3, 4, dan 5) serta Vault Hunter Pack (Story Pack 1 dan 2). Manakala pemilik Deluxe Edition akan menerima Bounty Pack Bundle, dengan pilihan pembelian secara berasingan turut disediakan untuk baki kandungan lain.

Pemain yang telah menamatkan kempen utama boleh mengakses endgame raid baharu yang dinamakan Takedown at Hadron Abyss melalui mana-mana Raid Board di hab utama. Kandungan percuma ini membawa pemain ke zon baharu, iaitu sebuah stesen penyelidikan bawah air rahsia bernama Hadron Abyss yang dipenuhi musuh mutasi dan pemangsa akuatik.

Tahap kesukaran musuh akan berubah secara dinamik mengikut saiz kumpulan pemain. Untuk cabaran yang lebih sengit, pemain boleh mengaktifkan tahap Mayhem atau mod Hardcore yang hanya memberikan satu nyawa sahaja. Menewaskan musuh utama, Child of Terramorphous, serta mini-bos di sini akan memberikan ganjaran khas termasuk satu senjata Pearlescent baharu, sembilan kelengkapan Legendary, dan lima Class Mods. Class Mod keenam akan ditambah ke dalam senarai ganjaran ini pada suku ketiga tahun 2026.

Kandungan berbayar premium terbaharu ini dipecahkan kepada dua bahagian yang boleh dibeli secara berasingan, iaitu penambahan A Zane to Kill For dan juga Vault Card 3.

Penambahan cerita ini membawakan misi bertemakan arked neon-noir yang boleh diulang, di mana pemain ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan sandaran Digi-Clone bagi watak Zane. Misi digital ini mengandungi satu bos baharu dan dua mini-bos untuk ditewaskan. Bersama-sama penambahan ini, Vault Card 3 turut diperkenalkan bagi membolehkan pemain memperoleh 24 barangan kosmetik berasaskan tema arked serta empat kelengkapan yang boleh di-reroll melalui tugasan dalam permainan.

Gearbox Software dan 2K turut mendedahkan roadmap bagi kandungan pasca-pelancaran Borderlands 4 untuk bulan-bulan mendatang:

  • 30 Julai: Pelancaran kemas kini Version 1.9 bersama Bounty Pack 4: Murders & Acquisitions.
  • Awal September: Pelancaran Bounty Pack 5 dan Story Pack 2 yang akan memperkenalkan watak Vault Hunter boleh dimainkan baharu, Loveless the Hacker.

Loveless merupakan bekas penggodam korporat Anshin yang beralih arah menjadi pembunuh upahan. Karakter ini dilengkapi dengan sistem siber-netik gred tinggi dan berkongsi mindanya dengan virus digital ciptaannya sendiri, yang boleh dijelmakan ke dalam bentuk fizikal ketika bertempur. Watak baharu ini juga menandakan ketibaan Class Mod keenam untuk ganjaran raid Hadron Abyss pada suku ketiga tahun 2026.

Borderlands 4 sudah dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2 dan PC.

Leave a Reply