HoYoverse telah mengumumkan bahawa kemas kini Genshin Impact Versi Luna VIII yang bertajuk “Sunny Summer Fontinalia” bakal dilancarkan secara rasmi pada 1 Julai 2026. Kemas kini terbaharu ini akan membuka satu kawasan kekal baharu di luar atmosfera Teyvat yang dikenali sebagai Frost Moon, di samping memperkenalkan salah seorang daripada ahli Fatui Harbingers, Sandrone, sebagai watak 5-bintang yang boleh dimainkan.

Sandrone, yang memegang gelaran ahli Ketujuh Fatui Harbingers, disahkan hadir sebagai watak 5-bintang yang menggunakan senjata Claymore dan dengan elemen Cryo. Kisah penceritaan watak tersebut akan merungkai misteri di sebalik kebangkitannya semula selepas mengorbankan diri dalam pertempuran sengit menentang The Doctor di Nod-Krai sebelum ini.

Kehadiran Sandrone turut membawakan tindak balas elemen baharu yang dinamakan Stellar-Conduct, hasil gabungan antara elemen Cryo dan Electro. Tindak Balas ini akan menghasilkan Polestar Field yang berfungsi menyimpan tenaga berlebihan untuk menukar menjadi buff, meningkatkan kerosakan elemen Cryo, Electro, dan Stellar-Conduct, serta mengurangkan Physical RES pihak musuh.

Dalam pertempuran, Sandrone mengawal sebuah robot autonomi bernama Fagio untuk melancarkan serangan Stellar-Conduct melalui Charged Attack yang mengumpul Decoding Power. Kemahiran Elemental Skill watak tersebut membolehkannya bergerak di dalam Polestar Field sambil menembak musuh, manakala Elemental Burst miliknya pula melancarkan serangan artileri pengeboman yang besar.

Bagi Character Event Wishes, Sandrone akan membuat kemunculan pertama pada fasa pertama versi ini bersama-sama fasa ulangan bagi watak Citlali. Fasa kedua pula akan menyaksikan kepulangan watak Columbina dan Raiden Shogun.

Kandungan utama Versi Luna VIII akan membawa pemain menaiki kapal angkasa untuk keluar dari Teyvat menuju ke kawasan bulan (Frost Moon). Kawasan kekal baharu ini menawarkan kawasan eksplorasi yang berbeza daripada bumi Teyvat, termasuk lautan lunar yang berbahaya, stesen angkasa lepas, serta runtuhan purba yang menyimpan sejarah tersembunyi mengenai kaum naga purba.

Pemain juga boleh memanipulasi graviti tempatan untuk merentasi pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar disebabkan oleh pengaruh kuasa purba misteri di permukaan bulan. Untuk memudahkan pengembaraan, HoYoverse turut mengemas kini sistem peta bagi Teyvat dan bulan dengan ciri paparan berlapis untuk menunjukkan kedudukan aras pemain secara masa nyata.

Kemas kini ini turut membawakan acara bermusim Fontinalia Film Festival yang berlangsung di atas kapal Wingalet di wilayah Fontaine. Acara ini akan menampilkan barisan watak seperti Charlotte, Citlali, Sandrone, dan Columbina dalam satu jalan cerita yang akan dikekalkan secara tetap di dalam game. Pemain ditugaskan untuk menguruskan akuarium kapal bagi menarik perhatian pengunjung, dan berpeluang mendapatkan watak Charlotte secara percuma bersama kostum baharunya selepas menyelesaikan acara tersebut. Kostum baharu untuk Citlali juga akan dijual dengan potongan harga buat masa terhad.

Selain itu, pemain boleh menyertai cabaran menari di Natlan, mencuba gubahan muzik baharu di Repertoire of Myriad Melodies, serta menggunakan kad-kad baharu dalam Genius Invokation TCG. Bagi mod Miliastra Wonderland, ruang lobi dan kostum bertemakan musim panas akan diperkenalkan dengan ganjaran percuma seperti Prismatic Crystals, manakala fungsi Editor untuk pembangunan tahap permainan akan menerima beberapa naik taraf praktikal serta aset persekitaran baharu.

Genshin Impact sudah dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PC, iOS, dan Android sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Leave a Reply