Kemas kini kandungan World of Warcraft kini beralih ke fasa seterusnya dengan pelancaran rasmi versi 12.0.7 yang dikenali sebagai Midnight: Revelations. Pelancaran ini membawakan pelbagai penambahan sistem mekanik, kawasan penerokaan baharu, serta acahan awal untuk kemas kini major pertama akan datang, iaitu versi 12.1.
Antara kandungan utama dalam kemas kini Midnight: Revelations ialah pengenalan raid baharu bernama Sporefall. Menerusi kandungan ini, pemain perlu menentang gergasi kulat, Rotmire, bagi mendapatkan ganjaran kelengkapan jenis spore-fused. Raid ini turut memperkenalkan sistem kesukaran Mythic baharu yang lebih fleksibel, membolehkan kumpulan pemain bersaiz antara 15 hingga 25 orang menyertainya, berbanding syarat tradisi sebelum ini yang menetapkan had tepat 20 pemain.
Satu sistem baharu yang dinamakan Omnium Folio turut diperkenalkan. Sistem ini berfungsi sebagai lejar runik yang mengandungi runes of power untuk kegunaan pertempuran, di mana pemain perlu menyelesaikan aktiviti mingguan untuk mendapatkan serta menaik taraf runik tersebut. Selain itu, kawasan aktiviti harian baharu iaitu Naigtal dan Val kini boleh diakses melalui portal yang bertukar setiap minggu. Kawasan ini menawarkan tugasan harian, musuh unik (rare enemies), dan world quests yang boleh dimainkan dalam pilihan kesukaran Normal atau Heroic.
Dari segi penceritaan dan misi, Apprentice Lorewalker Li Li membuat kemunculan sulung untuk mengisahkan detik penting melibatkan Loa, iaitu entiti yang disembah oleh kaum troll di Azeroth. Pemain juga boleh mengakses misi kempen Zul’Jan yang baharu, menyertai aktiviti membantu Jan’alai menetaskan kelompok telur, serta menerima kemas kini imbangan kelas (class balance).



Kemas kini ini turut membawakan aktiviti dalam permainan bertempoh terhad seperti WoW Goal yang bertemakan sukan bola sepak. Pemain boleh mengunjungi penjual di Silvermoon City untuk mendapatkan tabard pakatan Alliance dan Horde serta permainan bola sepak. Melalui aktiviti menjaringkan gol, pemain boleh membuka kunci barangan hiasan seperti trofi dan bingkai tabard. Selain itu, acara Turbulent Timeways akan kembali tidak lama lagi dengan menyertakan dungeons dari fasa Dragonflight. Pemain yang berjaya menyelesaikan pencapaian Turbulent Timeways V bakal dianugerahkan mount bernama Spawn of Vyranoth.
Melihat ke hadapan, pembangun turut berkongsi maklumat awal mengenai kemas kini utama pertama untuk World of Warcraft Midnight, iaitu versi 12.1 yang bertajuk Curse of Ula’tek. Kandungan ini akan berlatarbelakangkan kawasan Coiled Isle, sebuah pulau di luar pesisir pantai Zul’Aman. Apabila dilancarkan kelak, kemas kini 12.1 akan membawakan raid untuk Musim ke-2 serta senarai pilihan dungeons bagi mod Mythic+ yang baharu.


