Organisasi esukan Aurora Gaming, berjaya melakar sejarah baharu buat industri esukan negara apabila menjadi wakil Malaysia pertama yang layak ke kejohanan Free Fire di Esports World Cup (EWC) 2026. Kejayaan ini disahkan selepas pasukan tersebut meraih tempat keempat dalam saingan Grand Final Free Fire World Series (FFWS) Southeast Asia 2026 Spring yang berlangsung di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Dalam kejohanan serantau tersebut, Aurora Gaming mengumpul keseluruhan 75 mata, hanya berbeza satu mata di belakang pemenang tempat ketiga. Takhta juara menjadi milik pasukan tuan rumah, Secret WAG dari Vietnam, yang mendominasi pentas Grand Final dengan 120 mata dan 61 penyingkiran (eliminations).

Sebagai salah satu daripada tujuh pasukan terbaik dari rantau Asia Tenggara, Aurora Gaming akan mengiringi Secret WAG serta beberapa gergasi esukan lain ke Paris, Perancis pada 15 hingga 18 Julai ini. Antara pasukan lain yang turut mengesahkan slot ke EWC termasuklah All Gamers Global, Twisted Minds, Buriram United Esports, dan Team Falcons dari Thailand; Bigetron by Vitality dan RRQ dari Indonesia; serta juara bertahan EWC, EVOS Divine.

Peringkat FFWS SEA 2026 Spring kali ini turut memecahkan rekod penonton tertinggi bagi acara serantau FFWS. Kejohanan ini berjaya menarik 598,673 tontonan serentak puncak (peak concurrent viewers) dan mengumpul lebih 30.5 juta jumlah tontonan di pelbagai platform penstriman.

Aurora Gaming bertindak selaku satu-satunya wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan tersebut. Barisan pemain yang diketuai oleh kapten AUR.JUN bersama-sama AUR.ZUEZZ, AUR.THEAXEL, AUR.AZRIEL25, dan AUR.YASTA memamerkan aksi konsisten yang membawa kepada keputusan terbaik negara sepanjang sejarah penyertaan kejohanan itu.

Kapten pasukan, AUR.JUN meluahkan rasa syukur atas pencapaian ini dengan menyatakan bahawa kelayakan ke EWC merupakan satu impian yang menjadi kenyataan, namun perjuangan mereka masih jauh daripada selesai. Rakan sepasukannya, AUR.THEAXEL dan AUR.ZUEZZ turut menyatakan rasa bangga terhadap komitmen penuh pasukan dalam mengharungi cabaran sepanjang musim ini. Sementara itu, AUR.AZRIEL25 dan AUR.YASTA menegaskan bahawa tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas dunia akan dipikul dengan serius demi membanggakan para peminat di tanah air.

Sebelum berlepas ke Paris untuk bersaing di Esports World Cup dari 15 hingga 18 Julai, para peminat berpeluang untuk bertemu dengan barisan pemain Aurora Gaming secara bersemuka. Sesi ramah mesra (meet-and-greet) khas ini akan diadakan bersempena Grand Final Free Fire Malaysia Championship (FFMC) 2026 Fall pada 11 Julai ini bertempat di Quill City Mall, Kuala Lumpur. Pendaftaran bagi acara tersebut akan dibuka bermula jam 11:00 pagi.

Bagi peminat yang tidak dapat hadir, perkembangan dan siaran langsung kejohanan boleh ditonton menerusi saluran digital rasmi Garena Free Fire Esports di YouTube, Facebook, dan TikTok.

Leave a Reply