Khadam merupakan filem seram tempatan terbaharu yang diarahkan oleh Shamyl Othman, beliau pengarah yang cukup dikenali terutama untuk drama TV, bagi filem pula, beliau pernah mengarah filem Rahsia iaitu penghasilan semula filem seram klasik berjudul sama dan diterbitkan pada tahun 2023. Selain filem arahan beliau, saya juga boleh katakan yang filem Khadam ada membawa gaya yang sama dengan filem Rahsia, oleh itu jika anda pernah tonton dan menyukainya, anda juga boleh menghargai filem Khadam bahkan saya boleh katakan penyampaiannya adalah lebih baik.

Filem ini memfokuskan kepada Melor (Aghiny Haque) seorang yang bisu yang terpaksa berhadapan dengan pilihan berat. Ibunya, Nek Mak (June Lojong) hampir meninggal dunia akan tetapi disekat oleh saka yang ingin mencari tuan yang baharu. Pada awalnya Melor menolak, akan tetapi akibat kesukaran hidup terutama untuk menjaga dua anaknya iaitu Puteh (Zarra Zaff) dan Hitam (Karl El), dia terpaksa menerima untuk menjadi pemilik baharu saka tersebut. Keadaan menjadi bertambah baik, pada masa yang sama adiknya Manis (Siti Khadijah Halim) dan suami Melor, Awang (Remi Ishak) turut pulang, keadaan tampak menjadi bertambah baik akan tetapi tanpa disedari oleh Melor dia mula kehilangan diirnya dengan saka tersebut ingin sepenuhnya mengambil-alih.

Kekuatan filem ini adalah melihat bagaimana setiap hari Melor semakin kehilangan dirinya, daripada seorang ibu, isteri dan kakak yang baik, menjadi seorang yang sangat berdendam. Transformasi ini disampaikan dengan sangat berkesan, dan filem ini juga tidak takut untuk memperlihatkan adegan-adegan yang ganas bagi menguatkan lagi penceritaan. Namun saya boleh katakan, bahagian awal filem ini agak meleret kerana ia merupakan satu ulangan perkara yang sama cuma hari yang berbeza. Bagi memecahkan sedikit kitaran tersebut, filem ini menggunakan hadirnya watak baharu bermula dengan Manis dan juga Awang, ia menjadi sedikit lain tetapi pada asasnya masih terasa satu ulangan yang sama.

Keadaan yang menjadi lebih tegang dan menarik apabila Melor semakin hilang dirinya, dan babak-babak yang terbaik daripada filem ini saya boleh katakan hampir kesemua hadir pada bahagian akhir. Menjadikan satu penyelesaian yang memuaskan, walaupun pembinaan mengambil masa. Elemen seram, saya boleh katakan mencukupi, dan hadir dengan cara yang pelbagai, ada jump scare, tetapi tidak terlalu kerap digunakan yang membuatkan setiap kali ia berlaku, ia berkesan. Selebihnya, bahagian seram ini lebih disampaikan dengan gaya yang ganas berbanding menakutkan.

Selain itu lakonan juga memuaskan, saya harus memuji prestasi pelakon dari Indonesia, Aghiny Haque, saya tidak begitu mengenali serta tidak pernah melihat lakonan-lakonan beliau sebelum ini tetapi melihat lakonannya membawa watak Melor dengan sangat berkesan terutama dengan wataknya yang saya boleh katakan dua watak di dalam satu. Selain daripada itu, watak kanak-kanak Puteh dan Hitam juga dilakukan dengan baik dengan penglibatan mereka sangat berkesan di dalam memberi lapisan penceritaan. Manakala watak Manis dan Awang, dilakonkan dengan baik akan tetapi saya tidak merasa yang penglibatan mereka berkembang dengan baik sekadar menjadi pelengkap sahaja.

Filem Khadam memilih latar masa pada 50 atau 60-an, satu-satunya tarikh yang diperlihatkan adalah keratan akhbar yang melaporkan mengenai kemerdekaan pada tahun 1957. Lokasi yang digunakan adalah ringkas tetapi mencukupi, kerana ia melibatkan sebuah rumah sahaja yang dihasilkan bersesuaian dengan era tahun tersebut. Filem ini juga menggunakan rumah dan kawasan sekitar yang baik di dalam penyampaian adegan-adegan, tidak kira di bawah rumah, tandas yang berada di luar mahupun persekitaran hutan di sampingan.

Akhir kata, Khadam berjaya membuktikan keupayaannya sebagai sebuah naskhah seram tempatan yang kukuh dan memuaskan. Walaupun pergerakan cerita pada awalnya agak meleret dan penglibatan watak sokongan seperti Manis dan Awang terasa sekadar pelengkap cerita, kelemahan ini ditebus sepenuhnya dengan kemuncak penceritaan yang tegang. Pujian khusus wajar diberikan kepada lakonan cemerlang Aghiny Haque yang menghidupkan dua sisi watak Melor dengan sangat meyakinkan, disokong oleh penggunaan latar masa 50-an yang ringkas namun efektif. Dengan elemen jump scare yang dikawal baik serta garapan seram yang berani dan ganas, naskhah ini pastinya satu pengalaman sinematik yang berbaloi untuk ditonton di pawagam bagi yang meminati genre ini.

Khadam
Filem ini berjaya membuktikan keupayaannya sebagai sebuah naskhah seram tempatan yang kukuh dan memuaskan. Walaupun pergerakan cerita pada awalnya agak meleret dan penglibatan watak sokongan seperti Manis dan Awang terasa sekadar pelengkap cerita, kelemahan ini ditebus sepenuhnya dengan kemuncak penceritaan yang tegang dan prestasi Aghiny Haque sebagai Melor yang sangat memuaskan.
Positif
Jalan cerita ringkas tetapi berkesan
Lakonan berkualiti
Rekaan set dan pakaian yang baik
Negatif
Permulaan agak perlahan dan berulang
Ada watak kurang dikembangkan
8

Leave a Reply

Final Score