Sony Pictures telah melancarkan treler pertama untuk The Social Reckoning, sebuah filem drama biografi yang bertindak sebagai naskhah pendamping kepada filem The Social Network (2010). Filem baharu ini dijadualkan untuk tayangan rasmi pada 9 Oktober 2026.
Fokus utama treler tersebut memperlihatkan Jeremy Strong yang memegang watak sebagai Mark Zuckerberg. Turut diperkenalkan adalah pelakon Mikey Madison yang memainkan peranan sebagai Frances Haugen dan Jeremy Allen White sebagai Jeff Horwitz. Dua individu yang berperanan besar dalam mendedahkan sesuatu yang tidak baik mengenai laman Facebook. Barisan pelakon tambahan untuk filem ini termasuk Wunmi Mosaku, Betty Gilpin, Billy Magnussen, dan Bill Burr.
Aaron Sorkin menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, penulis skrip, dan penerbit bersama. Sebelum ini, Sorkin beberapa kali menyatakan minat untuk menulis sekuel kepada The Social Network dengan syarat pengarah asal, David Fincher, kembali mengarahkan projek tersebut. Walau bagaimanapun, filem ini diteruskan dengan Sorkin sendiri mengambil alih kerusi pengarah.
Fasa pembangunan naskhah ini bermula pada Jun 2025 serentak dengan proses pemilihan barisan pelakon. Penggambaran utama kemudiannya dijalankan di Vancouver, Kanada pada Oktober 2025 dan telah selesai sepenuhnya pada bulan Disember tahun yang sama.


