Koei Tecmo dan pembangun Team NINJA secara rasmi mengesahkan bahawa Wo Long 2: Wings of Ember kini sedang dalam fasa pembangunan. Judul action RPG terbaharu ini dijadualkan untuk pelancaran pada awal tahun 2027.
Sebagai sekuel kepada Wo Long: Fallen Dynasty yang sebelum ini merekodkan lebih lima juta pemain, siri baharu ini kekal dengan latar masa penghujung era Han Timur ketika kemunculan wira-wira zaman Tiga Kerajaan. Pemain akan mengawal seorang pahlawan tanpa nama yang perlu bertempur menentang panglima perang serta makhluk iblis di medan perang yang luas. Berdasarkan pengumuman tersebut, permainan ini akan terus memfokuskan kepada penguasaan sistem pertarungan seni mempertahankan diri Cina yang telah dievolusikan.



Apabila dilancarkan kelak, Wo Long 2: Wings of Ember akan tersedia untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC. Selain itu, permainan ini turut disahkan akan tiba dalam perkhidmatan Xbox Game Pass pada hari pertama pelancaran.
Bagi meraikan pengumuman sekuel ini, judul sebelumnya iaitu Wo Long: Fallen Dynasty kini telah ditambahkan semula ke dalam penawaran Xbox Game Pass.


