Milestone dan Mattel secara rasmi telah mengumumkan Hot Wheels Infinite Rush, sebuah permainan arcade racing yang dijadualkan untuk pelancaran pada 24 September 2026. Pemain yang mendapatkan edisi akses awal boleh mula bermain beberapa hari lebih awal pada 21 September. Permainan ini akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam, Microsoft Store, serta Epic Games Store.

Diumumkan semasa siaran langsung Summer Game Fest 2026, Hot Wheels Infinite Rush meninggalkan format litar tradisional dengan memperkenalkan empat pulau bertema yang boleh diterokai secara bebas oleh pemain. Dunia berskala Hot Wheels ini membolehkan pemain melakukan lompatan di udara antara pulau, melanggar objek persekitaran, mencari koleksi tersembunyi, dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berkonsepkan penjelajahan free-roaming.

Sistem teras permainan memfokuskan kepada mekanik perlumbaan pantas dengan penawaran lebih daripada 150 buah kenderaan yang dibahagikan kepada empat kelas berbeza. Setiap kelas mempunyai ciri kawalan yang unik dan disokong oleh sistem naik taraf prestasi. Pemain boleh mengembangkan garaj mereka melalui acara, aktiviti, dan pengedar kenderaan maya, yang merangkumi rekaan asal Hot Wheels sehinggalah kepada jenama automotif berlesen seperti Ferrari.

Bagi mod multi-pemain, Milestone menyertakan sokongan perlumbaan dalam talian dengan fungsi cross-play penuh, di samping mod split-screen yang menyokong sehingga empat orang pemain serentak. Walau bagaimanapun, fungsi cross-play tidak ditawarkan untuk platform Nintendo Switch 2, dan versi konsol tersebut turut mengehadkan jumlah peserta kepada enam pesaing sahaja bagi setiap perlumbaan.

Pembangun juga memfokuskan kepada alat penciptaan kandungan oleh pemain. Editor Livery dan Pelekat kini ditambah baik dengan pilihan pengubahsuaian roda. Selain itu, Track Builder menerima sistem ground-snapping baharu yang membolehkan pemain memasang modul litar terus ke atas permukaan bumi mengikut bentuk rupa bumi persekitaran. Buat pertama kalinya, pemain boleh meletakkan penanda aksi untuk menetapkan laluan kenderaan yang dikawal oleh AI dalam litar buatan sendiri. Semua litar dan rekaan yang dicipta boleh dikongsi dengan komuniti di semua platform, kecuali Nintendo Switch 2.

Leave a Reply